Friday, August 3, 2018

POLIGAMI: TAKDIR ATAU SUAMI YANG MENGGATAL?

POLIGAMI: TAKDIR ATAU SUAMI YANG MENGGATAL?

Salam Poligami buat semua sahabat pembaca yang dikasihi. Jutaan kemaafan kerana agak lama menyepi diri. Beberapa hari yang lepas agak sibuk dengan berbagai program universiti dan juga jamaah. Alhamdulillah, hari ini saya sambung kembali sembang-sembang poligami kita.

Tajuk yang dipihih kali ini agak sedikit 'kasar'. Tapi tidak mengapa sebab tajuknya tidaklah kasar sangat. Biasa-biasa saja. :)

Ramai isteri akan marah dan naik angin sampai ke otak bila suami bagitau nak kawin lagi. Bila kita kata kawin ni suatu yang telah ditakdirkan, maka isteri akan pantas menjawab. "Dah awak tu yang menggatal....".

Jadi untuk menjawab serangan tersebut saya bawa kisah di bawah ini....selamat menghayati! :)


Saya bagi contoh yang mudah. Se orang ustaz sering mengajar di masjid dan surau. Memang ustaz dan para tok guru ‘saham’ mereka agak tinggi setaraf dengan orang korporat. Sebab itu ramai wanita takut nak kawin dengan para ustaz kerana mereka amat bimbang suami mereka bernikah lagi!

Baik, ustaz ini memang tiada langsung niat untuk berpoligami sebab katanya dia tidak mampu. Pendapatan pun sekadar cukup untuk satu keluarga. Lagipun kata ustaz ini, se orang isteri sudah mencukupi. Isterinya melayannya dengan baik dan beliau sangat menyayangi isterinya itu. Beliau khuatir jika bernikah lagi, akan terguris lukalah hati isterinya. 

Lalu dari sejak mula bernikah, beliau tutup hatinya rapat-rapat meskipun sering saja dihampiri oleh ahli jamaah wanita yang ingin menjadi isteri beliau. “Saya tak kisah ustaz saya jadi isteri ke berapa pun. Asal saja ustaz sudi jadi suami saya” kata Wani (bukan nama sebenar) tanpa segan dan malu menawarkan diri untuk menjadi isteri kepada Ustaz Wan (bukan nama sebenar) meskipun beliau tau bahawa Ustaz Wan memang sudah beristeri dan mempunyai 2 orang anak. “Ustaz tak payah fikir pasal belanja. Saya dah ada semuanya. Rumah, kereta dan lain-lain. Saya juga ada bisnes. Nanti kalau ustaz setuju, kita sama-sama uruskan bisnes ni. Sekarang payah nak dapat orang yang amanah ustaz.” Luah Wani bagi meyakinkan Ustaz Wan tentang hasrat hatinya.

Kata-kata itu sentiasa tergiang-giang di kepalanya. Memang Ustaz Wan tidak mudah tergoda. Meskipun telah berkali-kali didekati oleh wanita-wanita cantik dan kaya sebelum ini, namun hatinya tetap teguh. Seteguh gunung Kinabalu. Namun kali ini, kelihatan Ustaz Wan merasa begitu sukar untuk melupai pertemuan pertama mereka sebaik selesai kuliah Subuh di sebuah masjid di Kuala Lumpur. Memang Ustaz Wan akan melayan pertanyaan ahli jamaah yang ingin bertanya sebaik saja usai kuliahnya.

Jiwa Ustaz Wan jadi gelisah dan serba salah. Memang dia risau isterinya akan berkecil hati dengannya jika dia bernikah lagi. Tapi nalurinya seakan mendesaknya untuk menerima Wani sebagai isteri keduanya. Akhirnya, hati Ustaz Wan seakan terbuka. Dia redha dan pasrah. Mungkin ini sudah suratan buatnya. Lalu dia beristikharah seperti biasa. Bukan satu malam, tapi tujuh malam berturut-turut melakukan solat istikharah dan solat hajat memohon pertunjuk dari Yang Maha Esa.
 “Ya Allah, aku tidak tahu samada Wani ini baik untuk aku, untuk keluarga aku, untuk kehidupan aku di dunia dan akhirat. Ya ! Allah jika Wani ini baik untuk aku, jadikanlah dia isteriku dan jika dia tidak baik buatku, keluargaku dan kehidupan dunia dan akhiratku, maka jauhi dia diriku”.
Demikian bait-bait doa yang dilahirkan oleh Ustaz Wan saban malam. Mungkin benar telahan Ustaz Wan bahawa jodohnya  dan Wani sememangnya telah tertulis di azali meskipun dia sedaya upaya mencuba untuk tidak melakukannya. Akhirnya mereka bernikah. Isteri pertamanya, meskipun agak terkejut dan sukar menerima hasrat hati Ustaz Wan untuk bernikah lagi akhirnya akur dengan kehendak Ustaz Wan. “Sayang jangan risau. Tidak ada yang berubah. Abang akan tetap sayang pada Wati dan anak-anak macam biasa. Kalaupun ada perubahan hanya giliran malam saja”. Tegas Ustaz Wan kepada isterinya Wati.

Wah! Panjang juga cerita Ustaz Wan ni ya? Baik! Saya sengaja membawa kisah ini bagi menggambarkan senario yang mungkin telah berlaku dan akan berlaku kepada ramai lelaki di luar sana. Jadi ‘mahu’ bernikah dan berpoligami saja bukan jaminan untuk seseorang itu berjaya berpoligami. Ia hanya akan berlaku sekiranya kemahuan dan keinginan seseorang itu bertepatan dengan kehendak dan keinginan Allah Yang Maha Esa. Macam saya! Saya memang mahu dan kebetulan Allah juga mahu. Maka berlakulah apa yang berlaku.

Sedikit perkongsian dari saya. Ini real story. Saya bernikah dengan isteri saya yang kedua selepas 20 tahun saya bernikah dengan isteri saya yang pertama. Kenapa begitu? Apakah saya tidak berusaha? Jawapannya ya! Saya berusaha. Tapi ianya tidak akan berlaku sehingga Allah izinkan ia berlaku dan ia berlaku setelah 20 tahun. Mungkin juga saya tidak punyai sebab yang kukuh untuk bernikah. 

Saya menyayangi isteri dan anak-anak saya. Saya bernikah pun bukan kerana kekurangan-kekurangan yang ada pada isteri saya, tapi saya sendiri yang memerlukan lebih dari satu isteri. Kini saya mempunyai 3 orang isteri Alhamdulillah. Yang keempat? Saya serah kepada Allah. Untuk mencari mungkin tidak. Tapi kalau ada yang datang menawarkan diri seperti yang berlaku di dalam kisah Ustaz Wan yang diceritakan sebelum ini, saya pasrah. Siapa kita untuk menolak takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Berkuasa di atas segalanya. 

Lagipun arwah datuk saya mempunyai empat orang isteri, jadi bukan suatu yang asing jika saya ‘menurun’ arwah datuk saya. Sekali lagi saya ulang, mencari mungkin tidak, tetapi jika ditakdirkan saya dianugerahkan Allah isteri yang keempat bagi memenuhi kouta yang ada, saya pasrah!

Jadi sebagai kesimpulan bagi tajuk di atas, maka adalah menjadi tugas anda sebagai suami untuk mengenali sifat isteri anda dan ditahap mana isteri anda berada. Adakah isteri anda berada di peringkat paling ekstrim di mana jika anda sebut perkataan ‘poligami’ sahaja di depannya maka isteri anda akan terus bertukar sifat menjadi ‘harimau jadian’ dan akan menerkam anda dengan buas tanpa belas kasihan? Jika ini sifat isteri anda, nasihat ikhlas saya, lupakan niat anda untuk berpoligami. Anda sememangnya ditakdirkan bermonogami sehingga ke akhir hayat. Redhalah dengan ketentuan Allah ini. Mungkin poligami tidak baik untuk anda meskipun anda bermimpi berpoligami pada setiap malam semasa berada di sisi isteri pertama anda. Isteri anda adalah satu-satunya isteri anda dunia dan akhirat insya Allah.


Usah rosakkan rumahtangga yang anda bina hanya kerana anda ingin ‘tunjuk hero’ dengan cara berpoligami. Usah terpedaya dengan kawan-kawan anda yang lebih miskin dan rendah kedudukannya dari anda kerana isteri mereka tidak sama dengan isteri anda. Jagalah isteri anda dengan baik. 

Saya amat tidak bersetuju dengan lelaki yang menceraikan isteri pertamanya hanya kerana mahu berkahwin lain. Saya juga amat menentang keras mereka yang sanggup menceraikan isterinya hanya kerana isteri pertamanya enggan membenarkannya berkahwin lagi. Kecualilah anda memang ada masalah dengan isteri pertama. Lalu anda jalinkan hubungan dengan wanita lain dengan niat yang tulus ikhlas untuk mengahwininya. 
Tapi malang, bila diberitahu kepada si isteri, isteri naik angin dan menentang sekeras-kerasnya hasrat anda. Dalam keadaan ini pilihan di tangan anda samada untuk meneruskan hasrat menikahi wanita yang baru anda kenali atau teruskan sisa-sisa hidup dengan isteri anda yang berupa ‘harimau jadian’.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment