Sunday, August 12, 2018

Yang Mana Satu Hukum Asal? Poligami atau Monogami?


Yang Mana Satu Hukum Asal? Poligami atau Monogami?


TUJUH LANGKAH MUDAH UNTUK BERPOLIGAMI

SIRI KE 13

OLEH
DR NIK RAHIM NIK WAJIS
PESYARAH KANAN, FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, USIM
(PENGAMAL POLIGAMI SEJAK 2007)

Sahabat pembaca yang dirahmati Allah.

 Menurut pendapat ulama’ ayat tentang poligami diturunkan bertepatan dengan adat dan amalan orang-orang Arab pada ketika itu. Mereka berpoligami kerana terdapat keperluan tertentu sama juga poligami di zaman moden hari ini. Keperluan tersebut mungkin dari sudut membantu urusan-urusan perniagaan atau urusan-urusan lain atau kerana kehendak dan keperluan seksual dan mungkin juga untuk meramaikan zuriat.

Semasa zaman jahiliah, jumlah wanita yang dinikahi tidak terhad hanya kepada empat orang bahkan langsung tiada had yang ditetapkan. Lalu Allah turunkan ayat dan memerintahkan agar orang Islam   menceraikan isteri-isteri mereka yang melebihi dari empat orang. Se orang sahabat bernama Ghailan bin Salamah Al Thaqafi seperti yang diceritakan oleh Imam Malik di dalam kita Muwatta’ mempunyai 10 orang isteri ketika beliau memeluk Islam. Lalu Nabi s.a.w memerintahkannya untuk memilih hanya empat orang dari isterinya dan menceraikan yang lainnya. Selain Ghailan, se orang lagi sahabat bernama Qais bin al-Harith juga mempunyai ramai isteri. Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Qais berkata:

“Ketika aku masuk Islam, aku mempunyai lapan orang isteri kemudian datang Rasulullah s.a.w menyuruh aku memilih dari kalangan mereka empat orang”.

 Mungkin ramai yang tertanya-tanya yang mana satu hukum asal bagi satu-satu perkahwinan, apakah poligami atau monogami? Menurut sebahagian ulama’, mana satu hukum asal itu bergantung kepada kemampuan seseorang untuk berlaku adil. Jika seseorang itu tidak mampu berlaku adil atau menunaikan tanggungjawabnya dengan baik meskipun hanya di saat memiliki se orang isteri, maka pastinya adalah HARAM baginya untuk berpoligami. 

Ertinya, bagi lelaki ini hukum asal baginya adalah bermonogami bukan berpoligami. Ada ramai yang berpoligami tetapi gagal memberi perhatian yang sama kepada isteri-isterinya sebaliknya hanya habiskan masa dengan isteri ‘favourite’nya saban hari dan membiarkan yang lain tergantung tanpa tali, maka dalam hal ini, lelaki tersebut tidak seharusnya berpoligami.

Namun jika sudah terbukti se orang lelaki itu mampu menyediakan segala keperluan isteri pertamanya dengan baik termasuk makan minum, pakaian, tempat tinggal serta lain-lain keperluan dan meyakini bahawa dia juga mampu menyediakan kemudahan yang sama kepada isteri yang lain, maka pada ketika itu adalah harus untuknya berpoligami. Saya katakan di sini, ia adalah HARUS, bukan wajib. 

Lelaki dijadikan oleh Allah berbeza antara satu dengan lain. Keadaan mereka berbeza, kemampuan mereka dari sudut fizikal, emosi, tenaga batin dan kewangan juga berbeza. Justeru jika dia optimistik dan berkeyakinan tinggi boleh menunaikan hak bagi semua isterinya dan mampu pula berlaku adil maka dalam situasi ini hukum asal baginya adalah berpoligami. 


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis (Ibn Nik Wajis) +6014 820 7111 (Call/Whatsapp) / +6018 356 3832 (call /sms only) Nilai, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment