Wednesday, April 20, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 37)


LAGI LAGI EMAS!

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Sembilan hari saya menyepi. Tiada tulisan yang saya kongsikan dengan sahabat semua tentang KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN. Kesibukan menguruskan keluarga di samping urusan-urusan kerja menjadikan saya agak sukar untuk memberikan perhatian kepada enulisan saya. Namun, Alhamdulillah  kini saya kembali lagi bersama sahabat semua.
Dalam part yang ke 36 yang lalu saya ada menyentuh dengan ringkas tentang salah satu pelaburan yang paling bagus iaitu pelaburan di dalam emas. Kali ini saya cuba kongsi beberapa lagi kelebihan yang ada dalam emas, yang tidak ada pada pada lain-lain galian dan juga fiat money atau duit kertas. Duit kertas adalah duit yang dikeluarkan oleh satu-satu negara. Di Malaysia, Ringgit Malaysia (RM) adalah dikira sebagai fiat money sama seperti lain-lain mata wang seperti Dollar Amerika, Pound Sterling, Euro dan lain-lain lagi.
Kehebatan emas sudah lama diketahui oleh umat manusia. Di dalam Al Quran, Allah s.w.t ada menyebut tentang dinar yang merupakan matawang yang diperbuat dari emas.
"Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu ‘dinar’ sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya". (Surah Ali Imran : 75)
Di dalam hadith, yang diriwayatkan oleh  Al Thabarani,  Rasulullah SAW telah bersabda:
"Akan datang suatu masa pada umat manusia, dimana pada saat itu orang yang memiliki kuning (emas) dan putih (perak), dia tidak disusahkan oleh kehidupan."  
Di dalam hadith yang lain pula  yang diriwayatkan oleh  Imam Ahmad,  Rasulullah SAW telah bersabda:


"Akan datang suatu masa pada umat manusia, dimana saat itu tidak berguna selain wang emas (Dinar) dan wang perak (Dirham) ." (HR. Ahmad).
Berdasarkan ayat al Quran dan juga hadith ini jelas betapa hebatnya KUASA emas dan juga perak.

Menurut sejarawan, emas pertama kali digunakan  sebagai matawang ialah pada tahun 700 sebelum Masihi oleh penduduk Kerajaan Lydia di Barat Turkey.
Kelebihan yang ketara tentang emas ialah dari sudut  nilainya yang sentiasa meningkat walaupun kadangkala ianya terdedah kepada kejatuhan nilainya. Namun berdasarkan kepada sejarah lampau, nilainya akan naik semula selepas kejatuhan tersebut.
Harga emas paling teruk jatuh pada awal pada awal November 2015 dan ini dikenali sebagai tragedi November 2015 di mana harga emas jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh 6 tahun. Harga emas pada masa itu bernilai hanya USD$1,051.   Tetapi sekarang satu auns emas bernilai sudah meningkat kepada $1,248 Dollar Amerika (harga emas pada 20 April 2016).
 Semasa Perjanjian Brettonwoods  yang berlangsung di Bretton Woods, New Hampshire pada tahun 1944, harga satu auns (31.10 gram)  emas hanya  $35 Dollar Amerika.
Perjanjian Brettonwoods adalah merupakan satu perjanjian antara Amerika dan beberapa sekutunya dari negara blok Eropah yang menyaksikan kelahiran Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa dan Organisasi Perdagangan Dunia pada tahun tersebut.
Negara-negara dunia berlumba-lumba  meneroka dan mencari emas di negara masing-masing. Afrika Selatan sebagai contoh, sejak tahun 1880-an lagi  telah menjadi pengeluar emas dunia. Pada tahun 1970, pengeluarannya  mencapai hingga 70 % dari keperluan dunia, iaitu    sekitar 1000 tan, namun pengeluaran  di tahun 2004 hanya 342 tan kerana sebab-sebab tertentu.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir pernah mencadangkan agar Dinar emas digunakan di pasaran global  sebagai salah satu kaedah untuk mengatasi masalah penyangak mata wang yang berleluasa di setiap pasaran saham. Anda pasti ingat penyangak matawang antarabangsa yang berbangsa Yahudi yang dikenali sebagai George Soros kan?
Meskipun amat jelas kehebatan emas di sisi mereka yang memahaminya, namun tidak semua orang akan menerimanya. Sebagai contoh Negara Turki yang diketuai oleh Mustafa Kamal Ataturk telah membatalkan penggunaan dinar emas sebagai mata wang dan menukarnya dengan syiling dari barat pada 1924.
Di antara kelebihan emas boleh diringkaskan seperti di bawah ini:
Pertama, emas adalah aset yang nyata yang boleh dipegang (Tangible Asset). Ini tentunya tidak ada bezanya dengan fiat money atau duit kertas yang kita pegang setiap hari.
Kedua, emas sangat mudah ditukar dengan duit bila saja kita perlukan. Ini memang benar. Kalau dulu sebagai contoh Ringgit Malaysia di terima di beberapa negara jiran seperti  Singapura, Brunei, Thailand dan lain-lain namun akibat kejatuhan nilai Ringgit yang begitu teruk, sesetengah pengusaha perniagaan sudah tidak mahu menerima Ringgit Malaysia. Tapi jika anda mempunyai emas, anda pastinya tidak berdepan dengan masalah ini.
Ketiga, emas adalah satu bentuk pelaburan yang PASTI menguntungkan. Peniaga emas sebagai contoh TETAP UNTUNG walaupun emas di kedai mereka tidak laku kerana  apabila harga emas meningkat, mereka boleh sahaja menjual emas tersebut dan mengambil keuntungan melalui kaedah ini. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.
Bagus juga untuk kita tahu serba sedikit tentang faktor yang membawa kepada kenaikan harga emas. Secara umumnya terdapat  tiga faktor utama iaitu  pertama penyusutan nilai dollar Amerika. Bila saja  nilai dollar Amerika menyusut, maka harga emas akan naik dan  apabila dollar Amerika stabil harga emas pula akan menyusut. Jadi kalau anda menyimpan banyak emas, banyak-banyaklah bedoa supaya Dollar Amerika jatuh, lagi teruk jatuh lagi bagus!
Kedua, harga emas pada kebiasaanya akan naik selari dengan kadar inflasi. Jadi apabila inflasi naik, harga emas juga akan naik selaras dengan kadar inflasi tersebut.
Dan faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum juga akan menyebabkan harga emas naik.   Jadi jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.
Keempat, emas juga sangat mudah untuk digadaikan atau dijadikan cagaran. Kadangkala suri rumah membeli barang-barang kemas hanya sekadar untuk ‘melawa’ atau sebagai hiasan semata-mata.   Tetapi bila terdesak, mereka boleh saja menggadaikan barang kemas tersebut dan menyelesaikan masalah kewangan mereka dan menebusnya kembali bila keadaan ekonomi sudah bertambah baik. Jadi kalau ada duit lebih, beli emas dan simpan.
Semasa balik ke Kelantan baru-baru ini saya berkesempatan ke Pasar Siti Khadijah. Di sini anda masih lagi berpeluang melihat  makcik-makcik peniaga memakai gelang emas penuh di lengan. Masya Allah! Baru saya tahu bahawa makcik-makcik ini amat ‘arif’ tentang nilai emas. Bila dapat untung hasil perniagaan, mereka akan beli emas dan simpan. Ternyata mereka mengaut keuntungan yang besar apabila nilai emas semakin meningkat. Cuma kaedah memakai gelang emas di lengan mungkin bukan lagi satu kaedah yang BIJAK untuk menyimpan  sebab dengan kadar jenayah  yang sebegitu membimbangkan seperti sekarang ini, silap-silap haribulan, bukan sahaja emas yang HILANG tetapi LENGAN juga turut hilang!
Kelima, emas adalah satu simpanan yang berbentuk peribadi.   Tidak ada orang yang tahu   berapa banyak emas yang kita miliki tidak seperti wang khususnya jika disimpan di bank. Jadi kita akan lebih selamat. Jadi jangan pula anda heboh-heboh bila dah menyimpan emas. Saya berani cerita sebab saya dah jual semuanya!
Keenam, emas boleh dijadikan sebagai kaedah pelaburan yang sangat efektif kerana dengan modal yang kecil kita sudah boleh memulakan pelaburan dalam emas.  Contohnya anda boleh memulakan pelaburan serendah 3 gram emas yang berharga kira-kira   RM519 (harga pada 20hb April 2016) atau lebih rendah dari itu.
Selain itu emas juga mudah dipindahkan (portable), tahan lama (durable) terhadap segala bentuk cuaca bahkan kalau ditakdirkan rumah terbakar sekalipun emas masih boleh diselamatkan kerana emas tidak akan lebur kecuali jika kepanasan mencecah 1000 darjah Celsius.!
Namun begitu terdapat juga beberapa kekurangan dalam emas. Antaranya ialah:
Pertama, emas mesti disimpan dengan selamat. Oleh kerana anda kena simpan, maka anda tidak mampu untuk menjadikan ia sebagai hiasan dan menikmati keindahan emas tersebut. Ini kerana kalau anda membeli emas hiasan tetapi dalam masa yang sama adalah untuk pelaburan, maka anda tidak boleh memakai kesemuanya kerana ia akan mengundang risiko dirompak. Selain dari itu anda  harus juga jaga ‘iman’ kerana memakai barang kemas secara berlebihan ‘sampai ke lengan’ sebagai contoh boleh menimbulkkan rasa riyak dan takabur serta ujub dan bangga diri dan ini merosakkan iman anda. Buat apa kaya kalau iman rosak. Emas berkilo pun tak ada makna kalau di akhirat kena masuk neraka!
Kedua, emas mempunyai risiko untuk rugi khususnya apabila anda menyimpan untuk jangkamasa singkat. Sebab itu sebelum anda mula menyimpan emas, pastikan wang perbelanjaan anda CUKUP kerana jika tidak anda mungkin terpaksa menjual atau menggadai emas simpanan anda sebelum sampai masa yang sepatutnya. Anda melabur untuk dapatkan keuntungan jadi elakkan situasi begini berlaku kepada anda. Untuk memperolehi keuntungan yang maksimum anda perlu menyimpan antara 3-10 tahun. Satu tempoh yang agak lama bagi sesetengah orang. Namun bagi mereka yang arif tentang kehebatan pelaburan dalam emas, mereka tidak kisah untuk menunggu kerana pulangannya amat berbaloi. Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Ketiga, emas berisiko tinggi dari sudut keselamatannya. Jadi pastikan anda menyimpan emas di tempat yang selamat. Usah riya’ dan bercerita dengan semua orang anda mempunyai berkilo-kilo emas kecuali jika anda terlibat dalam perniagaan emas dan anda lakukan semua itu untuk menjualnya. Jika emas yang anda simpan banyak jumlahnya adalah patut untuk anda mempunyai peti keselamatan di rumah. CCTV juga adalah satu kaedah yang baik untuk menjaga keselamatan harta anda yang amat bernilai itu.
Memasang penggera keselamatan juga patut dilakukan di rumah anda. Jika anda tidak mahu melakukan ini semua, anda boleh menyimpan barang-barang kemas anda atau barang-barang berharga anda di bank-bank terpilih atau syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan  penyimpanan seperti Royal Safe Deposit Boxes dan yang seumpamanya.  
Jika anda menggunakan khidmat al rahnu Bank Rakyat, upah simpanan adalah di antara 0.65 – 0.85% dari nilai barang kemas anda. Berbaloi untuk membayar upah ini berbanding barang kemas anda  DICURI! Tapi jangan guna kaedah ini jika anda tidak memerlukan wang untuk diniagakan atau seumpamnya yang boleh menambah nilai pelaburan anda.
Bersambung….


~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin   20 April  2016 / 12 Rajab  1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring 
– jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...