Tuesday, April 5, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 15)

PELUANG MASIH LUAS TERBUKA


Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa. Ameen!

Dua hari lepas saya terima satu message panjang lebar dari se orang sahabat FB bernama Faiz (bukan nama sebenar) yang mengikuti perkongsian saya sejak dari part 1 lagi. Terima kasih sahabat atas sokongan. Beliau menceritakan pengalaman pahit beliau apabila dibuang dari universiti gara-gara tidak begitu mengambil berat tentang pelajaran dan akhirnya gagal. Beliau kecewa kerana masa dan wang musnah begitu sahaja dan lebih membebankan apabila beliau terpaksa membayar hutang dengan PTPTN. Beliau pernah terlibat dalam bisnes dan agak berjaya namun sifat borosnya menyebabkan beliau tenggelam dalam kealpaan. Beliau akhirnya sedar dan insaf atas kesilapan lalu dan bertekad untuk bangkit kembali dan menanam azam untuk menjadi seorang JUTAWAN walaupun usianya kini  menjangkau  27 tahun. Beliau merasakan usia sebegini sudah begitu lewat untuk mengejar cita-citanya.
Saya yakin ramai sahabat di luar sana yang pernah melalui pengalaman yang pahit seperti ini. Namun kita patut bersyukur kerana kita diberi Allah kesedaran lebih awal. Usia 27 tahun jauh lebih muda dari saya yang kini sudah mencecah 53 tahun. Di usia begini pun tekad dan azam saya masih seteguh dahulu. Kerana seperti saya nyatakan sebelum ini ‘saya kaya bukan untuk dunia tetapi untuk akhirat’. Saya tidak akan menyesal jika sebaik saya diterima masuk  ke ‘millionaires club’ tiba-tiba saya dijemput pergi oleh Allah kerana saya yakin harta yang saya tinggalkan pasti digunakan oleh anak cucu saya dan saya akan terus menerus menerima ‘laba’ hasil dari pelaburan tersebut dari Allah s.w.t dalam bentuk pahala dan ganjaran.
Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sekiranya di tangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut"
[Hadis Riwayat Imam Ahmad]

Kenapa Nabi s.a.w berkata demikian? Kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia akan dikira dan dihitung di hari akhirat. Jadi pertimbangan dan matlamat untuk kaya perlu jelas kerana ini akan membawa kita ke jalan yang lurus. Kita juga tidak akan kecewa jika cita-cita untuk jadi kaya tidak tercapai kerana itu bukan MATLAMAT utama. Matlamat menjadi kaya dan menjadi jutawan adalah matlamat untuk mencapai matlamat yang kekal abadi di hari akhirat. Jangan risau jika kita tidak dapat mencapai matlamat yang diimpikan kerana Allah tidak tanya apa NATIJAH dari usaha kita. Yang Allah tanya ialah apa yang kita lakukan untuk mencapai matlamat yang telah kita tanamkan dalam diri.
Ramai yang suka makan KFC dan ramai yang kenal muka pengasasnya iaitu Col. Harland Sanders yang terpampang di restoran-restoran KFC seluruh dunia.  Beliau mula menjadi profesional chef pada usia 40. Hanya semasa usianya menjangkau 62 baru beliau memulakan program franchisenya dan beliau hanya menjadi icon dalam bidang bisnes khususnya dalam perniagaan franchise pada usia 75 tahun. Jadi jangan melihat kepada berapa usia anda. Kejayaan bukan terletak kepada usia tetapi kepada matlamat yang jelas, keinginan yang membara, kesabaran yang jitu, usaha yang tidak pernah mengenal jemu, terus menerus berjuang tanpa henti, tanpa mundur ke belakang walau setapak. Ibarat mendaki gunung Kinabalu, walau  hanya selangkah maju ke hadapan setiap hari, pasti akan tiba ke kemuncaknya!
Satu lagi point yang saya ingin kongsikan di sini, sijil dan kelulusan walau setinggi manapun, bukan jaminan kejayaan dan kekayaan. Lihat saja saya. Sejak berusia 33 tahun sudah memiliki Phd dan kini sudah 20 tahun memilikinya. Apa yang saya miliki? Saya kenal ramai sahabat yang kaya raya bahkan bergelar jutawan tapi tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. Dan ramai sekali saya kenal para cendikiwan yang bergelar Profesor, tetapi kehidupan amat sederhana sekali. Dalam erti kata lain – mereka tidak kaya.! Bagi saya untuk jadi kaya bukan dengan cara ‘makan gaji’. Saya dah kerja lebih 20 tahun, tapi kerjaya saya tidak membawa saya ke mana-mana ditambah pula dengan sikap boros saya. Bagi saya, belajar setinggi mungkin tapi matlamatnya bukan untuk menjadi ‘good employee’ tapi good employer – meminjam kata-kata Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad. Budaya makan gaji sepatutnya beransur-ansur dihapuskan. Kerana selagi budaya ini terus menerus mengalir dalam darah orang-orang Melayu, maka selagi itu mereka akan kekal menjadi 2nd class citizen!
Wassalam – Bersambung…..

“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”

Artikel ini boleh juga anda baca di ~ www.drnikrahim.com ~
‘JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 23 Mac 2016 / 14 Jamadil Akhir 1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...