Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 32)

SEWA HELIKOPTER HADIRI MAJLIS PERKAHWINAN

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Alhamdulillah…Allah masih panjangkan usia saya dan sahabat semua sehingga ke saat ini….Allah masih lagi memberi peluang dan ruang kepada kita untuk terus berbakti dan mengabdikan diri kita kepadaNya.
Dalam siri kali ini saya akan kongsikan gaya hidup atau life style Ustaz Mansur dan orang-orang kanannya dalam DINA. Selama beberapa bulan berada di dalam syarikat, ada beberapa perkara yang menimbulkan sedikit keraguan buat diri saya. Antaranya ialah gaya hidup mewah Ustaz Mansur. Saya personally tidak begitu rapat dengan Ustaz Mansur kerana sepanjang saya berada di dalam DINA hanya sekali beliau menjengah pejabat DINA di Kuala Lumpur. Tapi saya cukup rapat dengan Shaari orang kanannya. Beliau dianggap sebagai ‘anak murid bongsu’ ustaz yang paling taat dan paling dipercayai oleh Ustaz. Pernah dalam satu ucapan Ustaz Mansur membuat kenyataan bahawa jika beliau sudah tidak ada maka Shaari lah penggantinya.
Saya pernah dimaklumkan oleh Shaari bahawa Ustaz Mansur memiliki sekurang=kurangnya 12 kereta mewah yang harga setiap satu mencecah setengah juta ringgit. Saya sempat menaiki sendiri beberapa buah kereta mewahnya termasuk Alphard dan kereta Mercedes CLS yang saya dan Shaari menghantarnya kepada beliau di Kota Bharu. “Kereta ni saya hadiahkan kepada Ustaz Mansur sebagai menghargai kepercayaannya kepada saya” Kata Shaari semasa kami dalam perjalanan. Saya juga berkesempatan ‘merasa’ pemanduan kereta Mercedes sport tersebut yang bernilai lebih dari setengah juta Ringgit kata Shaari. “Kalau nak beli sendiri memang tak mimpilah” bisik saya dalam hati. Shaari sendiri mengikut kata teman-teman rapat beliau memiliki lebih kurang 10 buah kereta mewah. Tinggal di bungalow mewah di Bukit Antarabangsa.
Ustaz Mansur sendiri selain memiliki beberapa buah bungalow di Kelantan, turut mempunyai wismanya sendiri yang merupakan HQ bagi syarikat DINA. Beliau mempunyai bilik khas di Hotel Concorde Shah Alam yang merupakan pejabatnya semasa di luar Kelantan.
Saya dimaklumkan oleh Shaari bahawa beliau baru pulang dari Alor Star menghadiri perkahwinan salah se orang keluarga isterinya dengan menyewa sebuah helicopter. “Wah! Berapa sewa helicopter Yie?” Tanya saya. Memang itu panggilan saya kepadanya. Saya dengan Shaari mempunyai hubungan yang amat rapat. Kami sering sahaja bersama dalam banyak occasions. “Tak mahal Dr, dalam RM20,000 untuk bebrapa jam. Saya tidak mempunyai apa masalah dengan kehidupan mewahnya kerana beliau memaklumkan kepada saya bahawa gajinya memang besar. Ustaz Mansur memang amat mempercayainya. “Tak besar mana Dr, Ustaz bagi ambo (saya) gaji B$80,000 saja”. Subhanallah! Besarnya teriak saya dalam hati. Kalau di darabkan dengan 2 saja pun sudah cecah RM160,000 sebulan. Macam gaji CEO syarikat milik kerajaan (GLC) yang membuat untung berbillion ringgit setahun. Jadi tidak hairanlah kenapa beliau boleh hidup begitu mewah sekali.
Saya juga melihat bahawa kehidupan mewah ini dikecapi oleh mereka yang mempunyai jawatan tinggi dalam DINA. Kalau saya yang baru bekerja dengan syarikat pun mereka tawarkan RM12,000 bayangkan bagaimana mereka yang sudah lama bekerja? Saya difahamkan bahawa Peguam Ramlan pun mempunyai gaji bulan melebihi RM30,000 sebulan. Cuma mungkin atas sebab-sebab tertentu, beliau tidak begitu menonjolkan kekayaannya. Semasa saya di bawa melawat Sabah dalam siri penerangan, saya dapati rata-rata orang kuat DINA disana memandu kerete mewah jenis TOYOTA LAND CRUISER yang harganya memang melebihi setengah juta ringgit.
Jika dilihat kepada premis perniagaan DINA yang berada di hampir seluruh negeri di Malaysia, rata-rata berada di lokasi strategik. Saya pernah melawat beberapa pejabat DINA di Sabah dan Sarawak, selain di Kota Bharu, Kuantan, Kemaman dan banyak lagi. Tapi yang paling mahal ialah pejabat yang berada di Brunei Darussalam yang sewanya mencecah B$40,000 sebulan!
pada saat itu saya tidak melihat suatu yang negatif tentang gaya hidup mereka. Bahkan bagi saya orang Islam seharusnya begitu. Perlu menonjolkan ‘kehebatan’ kepada orang-orang yang bukan Islam. Barulah umat Islam disegani oleh orang-orang bukan Islam. Bagi saya DINA telah melakukan suatu langkah yang amat luar biasa dalam merobah ekonomi umat Islam. Kepercayaan terhadap DINA semakin memuncak. Orang ramai tidak putus-putus datang ke pejabat-pejabat DINA di seluruh Negara.
Brunei adalah di antara penyumbang utama pendapatan DINA. Jutaan Dollar telah diterima oleh pihak DINA di sana. Saya tidak pasti kenapa ini terjadi. Tapi yang pasti semua orang mahu cepat untung dan kaya tidak kira di mana mereka berada. Saya pernah diamanahkan membawa pulang ke Malaysia wang tunai sebanyak B$800,000 (RM1.6 juta) untuk diagihkan kepada pelabur di Malaysia. Saya hanya tawakal kepada Allah. Wang tunai tersebut dibungkus dengan kertas dan dimasukkan ke dalam beg pakaian. Saya tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan wang tersebut dari dirampas oleh pihak berkuasa. Saya rela melakukan semua itu bukan kerana saya dibayar gaji yang lumayan. Tapi saat itu saya melihat apa yang saya lakukan adalah jihad untuk memertabatkan ekonomi umat Islam. Saat itu saya sanggup korbankan apa saja demi mempertahankan DINA dan ustaz. Saya sendiripun tidak tahu kenapa saat itu saya begitu yakin dan taasub dengan ustaz. Saya yakin bahawa dia adalah se orang waliullah yang mampu menyelamatkan umat manusia melalui kemurahan hatinya dan berbagai peristiwa luar biasa yang saya sendiri amati dan alami.
Semasa isteri saya melahirkan anak pertama yang diberi nama sama seperti nama syarikat, saya diberikan sebanyak B$1,000 sebagai hadiah. Wang tersebut disampaikan oleh Shaari. “Ini hadiah dari Ustaz” kata Shaari kepada saya sambil menghulurkan sampul surat berwarna putih kepada saya. Sememangnya Ustaz Mansur se orang yang amat pemurah. Begitu juga dengan Shaari dan lain-lain ahli DINA. Kemana saja kami pergi, apabila makan semua orang berlumba-lumba untuk membayar. Pernah satu ketika saya bersama Shaari singgah di satu restoran di Kelantan, sebaik saja makan Shaari mengeluarkan wang RM500 dan berikan kepada taukeh kedai. “Nah kak, ni RM500. Saya bayar untuk semua orang yang makan di restoran akak”. Akak taukeh restoran kelihatan terpinga-pinga. Dalam keadaan demikian, kami pergi meninggalkan beliau dan tetamu-tetamu lain di restoran dengan menaiki kereta Mercedes sport berwarna hitam milik Shaari. Ini satu ilmu baru yang saya pelajari dan bila Allah berikan rezki yang lebih sedikit, saya pasti akan melakukannya. Seronok dan gembira sangat rasanya bila dapat bantu orang lain mengecapi secebis nikmat yang Allah kurniakan kepada kita walaupun kita bukanlah kaya mana pun!
Kewujudan DINA pada saat itu bagi saya adalah PENYELAMAT! Meskipun terdengar khabar angin bahawa DINA akan diserbu oleh Bank Negara Malaysia sama seperti apa yang berlaku di Brunei, namun saya tidak melihat khabar angin ini memberi apa-apa kesan kepada keyakinan orang ramai terhadap DINA. Mungkin juga sejak 2 tahun beroperasi, DINA tidak pernah mungkir janji. Saya melihat sendiri betapa gigih para pegawai DINA menunaikan tanggungjawab mengagihkan keuntungan kepada pelabur pada setiap hujung bulan. Mereka sanggup beratur panjang semata-mata untuk membuat bayaran melalui CASH DEPOSIT MACHINE (CDM) kepada para pelaburnya.
Apa menarik tentang plan pelaburan yang ditawarkan oleh DINA ialah sebaik tamat kontrak selama dua tahun, wang para pelabur dikembalikan sepenuhnya. Namun jika mereka mahu, mereka boleh menyertai skim baru yang diperkenalkan. Ini ternyata menarik minat ramai orang. Mereka benar-benar yakin bahawa skim yang dijalankan oleh DINA adalah skim yang tidak menyalahi undang-undang apatah lagi kami sering diberi keyakinan oleh peguam Ramlan, bahawa pihak DINA sedang dalam proses mendapatkan lesen pelaburan yang sah dan apa yang dilaksanakan sekarang tidak menyalahi undang-undang. Bila peguam bercakap, siapa kita yang tiada kelulusan undang-undang untuk membangkang! Ditambah pula dengan kemasukan Datuk Mufti sebagai ahli Penasihat Syariah, maka syarikat dan pelaburan DINA semakin diyakini.
Sebagai Penasihat Syariah syarikat saya sering saja diundang untuk membuat presentation kepada ahli tentang DINA dan plan pelaburannya di seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak dan juga Brunei. Saya terdengar desas desus bahawa Ustaz Mansur berhasrat untuk mengembangkan perniagaan DINA ke Asia Barat. Beliau menyebutkan bahawa beliau akan melantik salah se orang pegawai dalam DINA sebagai Presiden Dina Asia Barat. “Wah! Hebat betul perancangan Ustaz Mansur ini,” bisik saya dalam hati.
Pada satu mesyuarat di pejabat DINA di Kemaman, Terengganu sekitar bulan September 2010, suatu kejutan telah berlaku. Sebaik berakhirnya mesyuarat tergempar pada jam 3.00 pagi, Ustaz Mansur membuat satu pengumuman penting. “Insya Allah, tuan-tuan dan puan-puan, DINA akan terus maju. Kita akan buka pejabat di Dubai tidak lama lagi dan seterusnya di lain-lain Negara di Asia Barat. Saya dengan ini melantik Dr Nik Rahim Nik Wajis, sebagai Presiden Dina Asia Barat”. Subhanallah! Hampir nak pengsan saya. Saya benar-benar tidak menduga saya diberi kepercayaan sedemikian rupa oleh Ustaz Mansur sedangkan saya masih baru dalam syarikat. Ya! Kurang setahun saya bersama DINA. Apapun saya bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini….
Bersambung!
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 4 April 2016 / 26 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.
Artikel ini juga boleh dibaca di - www.drnikrahim.com -

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...