Tuesday, April 5, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 17)

BERHENTI KERJA JIKA ANDA TIDAK PUAS HATI DENGAN GAJI ANDA!

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!

Bila anda melihat tajuk di atas mungkin ada di antara anda yang agak tercengang dan tertanya-tanya? Kenapa saya harus berhenti kerja dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sebegini? Kenapa saya harus berhenti kerja sedangkan Syarikat-syarikat gergasi pun   terpaksa buang ramai pekerja?  Kenapa saya harus berhenti kerja sedangkan bukan senang nak dapat kerja sekarang? Kenapa saya harus berhenti kerja sedangkan belum tentu bila saya berhenti kerja nanti saya akan dapat kerja yang lebih baik dan gaji pun lebih besar?
Sabar! Anda terlalu cepat membuat kesimpulan! Memang saya cadangkan anda berhenti kerja “kalau anda tidak puas hati dengan gaji anda”. Kalau anda dah puas hati dengan gaji anda, dan anda rasa cukup selesa bekerja di situ, potensi career pun cerah dengan peluang kenaikan pangkat, anda pun tidak stress, dan anda rasa anda berpeluang menjadi se orang JUTAWAN dengan kekal makan gaji di situ, ayuh! Teruskan….anda bukan orang yang saya maksudkan. Yang saya maksudkan ialah mereka yang tidak puas hati dengan gaji mereka kerana beberapa sebab. Antaranya anda terpaksa kerja kuat membanting tulang, menggunakan tulang empat kerat, berpanas dan berhujan, terpaksa memikul barang-barang yang boleh mematahkan tulang belakang anda, sering dimaki hamun oleh boss yang tak berhati perut, yang selalu dipandang rendah oleh majikan anda, kerja-kerja anda tidak pernah dihargai dan lain-lain perkara yang menyerabutkan kepala anda – ya ini golongan yang saya maksudkan.
Kenapa saya cadang kepada anda supaya berhenti? Kerana bagi saya anda sepatutnya diberi layanan yang adil. Anda kerja lebih kuat dari boss anda. Tapi boss anda menikmati gaji yang berkali ganda lebih tinggi dari anda hanya kerana dia mempunyai kelulusan lebih tinggi dari anda! Ok..letak ke tepi bab gaji kerana memang kemanapun anda pergi, inilah scenario yang akan anda saksikan. Boss kerana kedudukannya sebagai ‘boss’ akan tetap mendapat gaji lumayan dengan berbagai-bagai keistimewaan. Pekerja bawahan tetap mendapat gaji yang ‘ciput’ hanya kerana dia adalah pekerja bawahan @ kuli.
Persoalan sekarang, relakah anda menjadi kuli dan dilayan seperti hamba sepanjang hidup anda? Jika tidak rela anda harus berhenti sekarang atau bersiap bersedia untuk berhenti kerja! Mesti anda akan berfikir…kalau aku berhenti, macamana nak bagi makan anak-anak dan lain-lain tanggungjawab? Ok! Saya cadangkan anda berhenti atau bersedia untuk berhenti dan menjadi Boss! Cukuplah menjadi ‘kuli’. Wah! Jadi boss! Mesti best ni…! Memang jadi boss amat menyeronokkan! Anda bebas ke sana kemari tanpa halangan. Anda tidak akan dimaki hamun lagi. Gaji anda sendiri yang tentukan. Anda boleh cuti bila-bila masa sahaja. Dan yang lebih penting, anda perolehi kembali ‘maruah’ anda! Tapi macamana nak jadi boss? Sapa nak amik saya jadi boss sedangkan saya tiada kelulusan tinggi. Yang saya ada Cuma tangan dan kaki. Saya dapat duit melalui tulang empat kerat!
Berniaga! Ya..berniaga! anda harus berniaga. Saya sudah berniaga sejak sekian lama walaupun saya perolehi pendapatan yang mungkin  lebih tinggi sedikit dari anda! Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, berniaga tak semesti ada modal yang besar. Bahkan ada bisnes yang boleh anda ceburi walaupun tanpa modal. Kalau anda belum membaca tips saya sebelum ini, maka anda perlu membacanya. Saya pernah  berborak-borak dengan se orang akak peniaga pisang goreng di Kuala Lumpur tidak berapa lama dulu. Saya tanya berapa dia boleh dapat sehari. “Tak banyak encik, dalam RM200-RM300 saja sehari!” Wah! Terbeliak mata saya mendengar jawapan selamba dari akak tu walaupun pada awalnya agak teragak-agak untuk menjawab soalan saya. Kalau dia dapat RM200 saja sehari, dia akan mendapat lebih kurang RM6,000 sebulan. Tolak kos dan gaji pekerja dan lain-lain, paling busuk boleh dapat dalam RM4,000 sebulan. Lebih bagus dari gaji pegawai yang berkelulusan masters! Jadi pegawai-pegawai yang ‘bertitle’ di luar sana, usah sombong dengan makcik-makcik menjual pisang goreng di tepi-tepi jalan, sebab mereka jauh lebih kaya dari anda. Mereka beli kereta ‘cash’, anda pula beli kereta hutang, lepas tu dok bayar interest bertahan-tahun lamanya!
Jadi bisnes adalah kaedahnya. Saya teringat kata-kat al Syahid Hassan Al Banna. Beliau mengatakan ‘Berniagalah, walaupun anda se orang yang kaya raya”. Saya amat yakin dengan sabdaan Nabi s.a.w yang menyebutkan bahawa “Sembilan per Sepuluh rezeki Allah adalah terletak dalam perniagaan”. Ini memang jelas. Cuba anda buka mata dan lihat sekeliling. Siapa yang mendominasi ekonomi Malaysia kalau bukan peniaga. Siapa yang memiliki rumah besar dan kereta besar kalau bukan peniaga. And boleh kira dengan jari orang makan gaji macam saya yang kaya raya. Kalau pun ada yang kaya adalah bukan kerana gajinya, tapi kerana penglibatan mereka dengan bisnes. Mereka menulis dan menjual buku tulisan mereka. Mereka menjadi perunding sana-sini. Jelasnya kalau hanya makan gaji sahaja sukar untuk kaya!
Saya amat setuju dengan pandangan sahabat baik saya dan guru saya dalam perancangan kewangan al fadhil Ustaz Raisul Fadhla yang menulis komen dalam face Book saya berhubung tulisan saya yang lepas bahawa orang makan gaji juga boleh kaya. Tapi orang makan gaji yang bagaimana? Orang makan gaji yang berilmu dan yang tahu bagaimana untuk melaburkan wangnya. Maksudnya kalau hanya makan gaji dan menghabiskan wang gajinya setiap bualan tetapi tidak melibatkan diri dalam perniagaan atau melaburkan wangnya maka MUSTAHIL untuk jadi kaya. Terima kasih al Fadhil Ustaz atas pandangan yang bernas itu.
Jadi anda yang berada dalam kategori yang saya sebutkan di atas WAJIB berniaga sambil anda meneruskan pekerjaan anda. Carilah perniagaan yang tidak memerlukan modal yang besar. Saya tertarik dengan tulisan penulis hebat Che Li yang menyebutkan bahawa antara sebab kenapa kita tidak kaya adalah kerana kita bekerja siang dan malam semata-mata untuk mengkayakan orang lain. Bagaimana tidak? Jika hari ini hari gaji, ke mana anda pergi? Shopping kan? Anda ke supermarket, anda kaya kan tokey supermarket tu. Anda ke kedai makan, anda kayakan tokey kedai makan tu. Anda ke pasar anda kayakan tokey di pasar tu. Anda ke stesen minyak anda kayakan tokey stesen minyak tu. Jadi mana yang buatkan anda kaya? TIADA! Bahkan anak isteri anda pun tidak membantu anda jadi kaya. Jadi anda harus jadi seperti mereka. Anda harus meletakkan diri di tempat di mana orang lain akan bekerja untuk membantu anda jadi kaya. Bila ini berlaku? Bila anda menjadi se orang peniaga tidak kira apa sahaja yang anda jual dan tidak kira berapa nilai bisnes anda. Yang pasti anda telah meletakkan diri anda di tempat yang tinggi sebagai se orang ‘boss’ walaupun dalam level paling bawah!

Mulai sekarang! Anda tidak layak jadi KULI kerana anda sebenarnya dilahirkan sebagai BOSS!




Wassalam – Bersambung…..

“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”

Artikel ini boleh juga anda baca di ~ www.drnikrahim.com ~
‘JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 23 Mac 2016 / 14 Jamadil Akhir 1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment