Tuesday, April 5, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 14)


Selamat Membaca kepada semua sahabat ~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 14)
CASH IS KING! ~ https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=986965878025493&id=133622826693140

Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa. Ameen!

Ramai yang suka beli sesuatu barangan secara hutang atau bayaran secara ansuran. Saya pun macam tu juga suatu masa dahulu. Tapi bila dah terkena beberapa kali, saya mulai serik. Saya tak akan buat hutang lagi kecuali kalau amat-amat TERDESAK!
HUTANG membawa bala bencana dalam kehidupan kalau silap perhitungan. Ada orang jadi bankrap kerana hutang. Ada orang tidak bertegur sapa kerana hutang. Ada orang kena colek kerana hutang. Ada orang bunuh diri kerana hutang. Bahkan ada yang kena bunuh kerana HUTANG! Itu BALA yang dibawa oleh hutang dalam kehidupan kita di dunia. Di akhirat ‘bala’ dan bencananya jauh lebih besar. Cuba renung hadith Nabi s.a.w ini:
Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)
Kalau kita tengok dan amati hadith ini, Nabi s.a.w memberi amaran yang amat keras sekali terhadap orang yang berhutang yang gagal membayar hutangnya sehingga dia mati hatta kalau mati syahid sekalipun  jika waris  dan kaum kerabat juga tidak melangsaikan hutang piutangnya. Dia akan  terus menerus menanggung beban dosa kerana tidak membayar hutang tersebut. Ini kerana Allah hanya akan mengampun dosa yang dilakukan hamba terhadapNya tetapi tidak akan mengampunkan dosa terhadap sesama manusia.  Jadi seperti saya jelaskan sebelumnya, elak berhutang kecuali jika tiada pilihan.  
Bila anda terdesak dan bila anda dikecualikan untuk berhutang?
Bila anda benar-benar memerlukan dan anda yakin mampu untuk melunaskan hutang tersebut seperti yang dijanjikan. Elakkan dari berhutang hanya kerana nak beli spot rim, atau langsir baru, atau hand phone baru, kasut dan pakaian baru dan perkara-perkara seumpama itu kerana anda tidak TERDESAK untuk berhutang. Antara keperluan terdesak ialah membeli kenderaan mengikut keperluan dan kemampuan anda. Jika keperluan anda hanya motosikal, anda beli motosikal. Jika anda perlukan kereta, anda beli kereta. Tapi ingat anda Cuma perlukan kenderaan bukan kemewahan! Asal sahaja kereta itu selamat dipandu dan mampu membawa anda dari satu destinasi ke destinasi yang lain, itu cukup untuk memenuhi keperluan anda. Berhutang memang seronok. Yang tak seronok membayarnya!
Selain kenderaan, rumah kediaman adalah satu lagi keperluan anda. Belilah rumah kediaman yang dapat memenuhi KEPERLUAN  anda bukan memenuhi NAFSU  anda! Ini juga salah satu kaedah ‘forced saving’ yang ramai orang berjaya melakukan sebagai satu kaedah menyimpan dan menabung.
Jika anda mampu, usahakan untuk membeli sesuatu keperluan anda dengan tunai. Sebagai contoh anda ada wang sebanyak RM50,000. Pada saat itu anda perlu sebuah kenderaan. Maka gunakan tunai anda untuk membeli kenderaan tersebut. Dengan pembelian secara tunai ini anda boleh menjimatkan kira-kira RM14,000 dalam tempoh 7 tahun dengan mengambil kira kadar faedah sebanyak 4% setahun atau RM2,000 setahun atau RM166.00 sebulan. Anggaplah ini pendapatan tambahan anda pada setiap bulan.
Tetapi kalau anda se orang yang sanggup mengambil risiko dan rajin berusaha, maka BERHUTANG lebih baik bagi anda. Anda gunakan wang sebanyak RM50,000 itu untuk berniaga, maka ia lebih menguntungkan. Sebagai contoh anda berniaga dengan membeli barangan dari China. Ramai kawan-kawan saya jadi jutawan melalui cara ini. Barangan dari China amat murah dan anda mampu membuat untung sehingga 100% bahkan lebih besar dari itu. Saya dan isteri pernah menggunakan kaedah ini. Kami beli 500 biji spek mata terapi dan kami print logo kami sendiri dengan harga belian bersih sekitar RM15.00 setiap satu dan kami jual dengan harga RM50.00. Tolak pos dan sebagainya termasuk pengiklanan, kami masih lagi untung sekitar RM30.00 atau 200% dari modal asal. Memang lumayan!
Jadi kalau anda se orang yang minat berniaga, dengan modal sebanyak RM50,000 anda boleh menjana sekurang-kurangnya RM15,000 setahun dengan kadar keuntungan bersih sebanyak 30% sahaja. Jadi jika ditolak kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank sebanyak 4%, maka anda masih lagi mampu meraih sebanyak 26% setahun. Cuma anda harus sanggup menanggung risiko dalam perniagaan. Jika tidak, anda hanya mampu berjimat, tapi tidak mampu menjana pendapatan lumayan. No pain non gain! Anda tak mahu susah, anda susah nak senang!
Selain dari berniaga anda juga boleh menggunakan wang tersebut untuk melabur dalam pelaburan yang diluluskan oleh hukum syara’ dan undang-undang. Tabung Haji sebagai contoh adalah salah satu tempat yang agak tinggi pulangannya dan dijamin kerajaan. Jika anda mampu memperoleh sekitar 8% keuntungan setahun, anda masih lagi mampu memperoleh keuntungan bersih sebanyak 4% setahun setelah anda membayar 4% interest kepada pihak bank kerana membeli kenderaan anda dengan cara ansuran.
Jadi dalam kes ini, BERHUTANG adalah lebih baik dan lebih menguntungkan dari membeli kenderaan dengan cara TUNAI berdasarkan kepada perkiraan di atas.






Wassalam – Bersambung…..

“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”

Artikel ini boleh juga anda baca di ~ www.drnikrahim.com ~
‘JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
Isnin 22 Mac 2016 / 13 Jamadil Akhir 1437

#Kenapasayatidakjadijutawan
#jutawanmuslim
#jutawanmukmin
#sharingiscaring – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...