Tuesday, April 19, 2016

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 30)

WAJAHNYA TERLUKIS DI LANGIT!

Salam sahabat semua. Selamat berhujung minggu. Moga cuti hujung minggu dimanafaatkan sebaiknya. Ameen!
Harini kita sambung cerita semalam. selepas pulang dari Brunei seusai perbicaraan kes Syarikat DINA Business Ventures Sdn Bhd di mahkamah Brunei, saya kembali ke pejabat seperti biasa. Bisnes harus dijalankan juga walaupun sendirian dan hanya dibantu isteri tercinta yang sentiasa memberikan sokongan.
Namun saya tidak mampu memberikan fokus seperti biasa. Tawaran yang diajukan kepada saya terlalu besar untuk diterima walaupun wang sebanyak telahpun pernah saya kecapi sebelum ini dan dalam masa yang sama amat sukar untuk ditolak kerana jumlah besar itu pastinya amat 'menggiurkan' sesiapa saja yang berada di tempat saya saat itu.
Namun kerisauan sering melanda benak pemikiran saya kerana menerima jawatan tersebut bermakna saya terpaksa menutup bisnes saya dan ini pastinya perkara terakhir yang akan lakukan. Itu pun jika saya tiada lagi pilihan. Kerana memang business is my passion!
Saya amat bimbang jika sekiranya berlaku sesuatu kepada syarikat DINA di Malaysia, maka nasib yang sama akan menimpa semua pekerja di sini termasuk saya sama seperti apa yang berlaku di Brunei.
Puas saya berfikir. Mengira-ngira dan mencongak berbagai kemungkinan. Saya membuat beberapa kajian tentang syarikat ini melalui internet. Tiada yang buruk yang saya temui. Kecuali berita perbiacaraan kes di Brunei. Komen-komen yang saya temui di media sosial semuanya amat positif. Mereka semua amat bersyukur kepada Allah kerana ada 'insan mulia' seperti Ustaz Tengku Mansur' yang begitu prihatin tentang nasib golongan miskin dan sederhana. Mereka begitu menghormati 'Ustaz' kerana beliau telah berjaya merobah kehidupan mereka dari kedhoifan.
Dalam penyiasatan dan pembacaan saya tentang syarikat ini saya bertemu dengan satu maklumat yang amat penting. Rupanya sebelum saya ditawarkan jawatan penasihat syariah ini, syarikat sudah ada penasihat syariah yang merupakan pakar perbankan Islam. Beliau berkelulusan Phd dari Jordan dan sedang bertugas di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur. Selidik punya selidik, rupanya beliau adalah kaum kerabat saya juga. Dr Nik Syukri namanya (bukan nama sebenar).
Saya terus menghubungi beliau dan kami bersetuju untuk bertemu di sebuah restoran mamak di Gombak. Setelah memesan makanan dan minuman serta taaruf ringkas sebab kami sebenarnya tidak pernah bertemu secara empat mata sebelum ini. Saya memang kenal rapat dengan ayahnda beliau kerana pernah bekerja di jabatan yang sama suatu ketika dulu dan beliaulah yang membeli kereta VOVO 740SE yang saya bawa balik dari UK semasa belajar di sana antara tahun 1991-1996. Saya jual kereta yang dibeli dengan harga RM40,000 termasuk tax sebanyak RM24,000 dengan harga RM12,000 sahaja. Memang saya rugi kerana menjual kereta kesayangan saya ni, tapi apa nak buat, saya telah mendapat tawaran kerja di Brunei pada masa itu.
" Ust Mansur ni PENIPU syeikh!" Kata Dr Nik Syukri bila saya tanya beliau tentang latar belakang 'ustaz'. Terkejut besar saya bila dengar kenyataan dari beliau. Rasa nak pitam pun. Ye lah! Offer dah ada depan mata. Besar pulak tu. Ini dah kira life time opportunity kalau tak ambil peluang ni, entah bila pula nak dapat peluang macam ni.
Fuh! Saya mengeluh panjang. Dalam hati terasa seakan Dr Nik Syukri sengaja nak burukkan syarikat DINA kerana beliau sudah pun diberhentikan oleh ustaz.
"Sebenarnya syeikh, ana diberhentikan sebab ana lawan dia. Ada banyak yang tak kena dalam syarikat. Pelaburannya tak syariah compliance, akhlak pun rosak, satu lagi yang paling penting, anytime syarikat ni akan diserbu oleh Bank Negara". Astaghfirullah, beratnya tuduhan yang dilemparkan oleh Dr Nik Syukri ini kepada ''ustaz' yang dilihat amat tinggi darjatnya kepada para pengikutnya yang bukan sahaja terdiri dari orang-orang miskin dan sederhana, tapi juga orang-orang kaya yang 'ingin lebih kaya'. Bahkan saya dimaklumkan, di Kelantan terdapat se orang lelaki Cina iaitu se orang businessman yang melabur sehingga RM1juta kerana tertarik dengan tawaran hebat ustaz yang menyediakan keuntungan sehingga 8% sebulan!
Namun saya hormat pandangan yang dikongsikan oleh Dr Nik Syukri kerana beliau lebih mengenali 'ustaz' dan syarikat lebih awal. Melihat kepada perwatakan beliau saya yakin bahawa beliau bercakap benar. Kini saya semakin kusut. Ikut hati mahu saja ambil risiko dan terima saja tawaran. Tapi dalam masa yang sama, kerisauan dalam benak pemikiran saya semakin menebal.
"Terpulanglah pada enta syeikh, ana cuma bagi tahu apa yang ana tahu. Tapi nasihat ana pada enta sebagai waris, janganlah terima tawaran tu sebab risikonya amat tinggi" kata Dr Nik Syukri mengakhir perbualan kami. Beliau meminta izin untuk kembali ke pejabat. Ada kelas katanya. Beliau berlalu pergi menaiki kereta Mercedes Benz S series berwarna biru metalik. "Wah, boleh tahan juga Dr Nik Syukri ni," bisik saya dalam hati. Saya tertanya-tanya apakah beliau juga turut melabur dan mendapat laba besar dari pelaburan dalam syarikat DINA selain sebagai penasihat Syariah? Kalau benar, bagaimana pula dengan kata-kata beliau tadi yang menyebut pelaburan syarikat tidak syariah compliance atau tidak patuh Syariah?
Ini semua membuatkan fikiran saya semakin kusut dan berserabut. Saya tidak boleh membuat keputusan secara terburu-buru. Saya berbincang dengan ayah bonda dan juga keluarga terdekat. Saya akan membuat keputusan sebaik saya melakukan munajat dan istikharah. Namun sebelum itu saya mengambil keputusan nekad untuk menelefon 'ustaz' sendiri. Saya tidak penah menelefon beliau walaupun saya ada nombor telefonnya. Terasa juga segan nak cakap dengan Chairman of so many companies. Tapi demi mencari kebenaran, saya lemparkan perasaan malu dan segan itu jauh-jauh ke dasar lautan Hindi.
" Assalamu 'alaikum ustaz. Ambo (saya) Dr Nik. Ambo nak ucap terima kasih banyak-banyak atas perlantikan ambo sebagai penasihat Syariah. Tapi sebelum ambo terima ambo nak tanya ustaz sikit pasal apa yang dikatakan oleh Dr Nik Syukri, penasihat Syariah syarikat sebelum ni. Dia kata pelaburan syarikat ustaz ni tak ikut Syara' dan menyalahi undang-undang. Lepas tu dia kata tak ada penyata kewangan dan banyak lah lagi" tanya saya dengan suara yang perlahan dan tersekat. " Macam ni lah Nik, kalau demo (awak) tanya kawe (saya), kawe kata lagu ni, tapi kalau demo tanya Dr Nik Syukri, dia kata lagu lain pulak. Jadi bila nak abis?" Tanya ustaz kepada saya. Suaranya agak tenang. Tidak ada nada keras kedengaran. Risau juga saya. sebab dengar cerita dari Dr Nik Syukri siang tadi, beliau dihalau keluar dari bilik mesyuarat gara-gara tidak 'sekepala' dengan ustaz.
" Gini Nik. Demo jangan tanya ambo. Jangan jugak tanya Dr Nik Syukri. Demo tanya Allah. Demo semayang (solat) 12 rekaat solat hajat, tanya Allah siapa Tengku Mansur ni, insya Allah demo akan terima jawapannya. Esok demo telefon kawe" Subhanallah! Tanya Allah? Biar betul bisik saya dalam hati sebaik ustaz membuat saranan tersebut.
Malam itu saya bangun lebih awal dari biasa. Jam 3 pagi saya sudah berada di atas sejadah. Saya benar-benar pasrah. Apa sahaja yang Allah tunjukkan akan saya turuti. Memang saya sering bermunajat kepada Allah apabila berhadapan dengan sesuatu yang rumit untuk diselesaikan. selesai solah hajat sebanyak 12 rekaat seperti yang disarankan oleh ustaz siang tadi saya benar-benar berdoa kepada Allah agar tunjukkan saya jalan kebenaran. "Ya Allah! Bantulah hambaMu yang lemah dan kerdil ini dalam membuat keputusan ini. Aku tidak tahu siapa Tengku Mansur ini ya Allah. Engkau tunjukkanlah kepadaku ya Allah! Saya berdoa setulus hati. saya benar-benar berharap agar Allah membantu saya untuk membuat keputusan yang amat kritikal ini. Sebaik usai solat dan bermunajat saya kembali ke kamar tidur.
"Abang, bangun bang!" Terdengar suara isteri saya mengejutkan saya dari tidur. " Kenapa abang menangis? " tanya isteri. Saya meraba-raba mata dan pipi saya. Subhanallah! Saya menangis rupanya. " Malam tadi abang mimpi melihat ustaz Tengku Mansur. Wajahnya berseri-seri terukir di langit. Sebab tu abang menangis kerana melihat betapa mulianya insan bernama Ust Tengku Mansur ini" jelas saya kepada isteri yang seakan antara percaya dengan tidak saja dengan apa yang saya ceritakan. "Ala bang! Mimpikan hanya mainan tidur" sambung isteri saya. Kata-kata isteri sedikit pun tidak mengubah keyakinan saya bahawa Ustaz Tengku Mansur adalah se orang hamba Allah yang istimewa dan tidak mustahil dengan kelebihan yang beliau miliki beliau adalah se orang waliullah! Begitulah keyakinan saya sebaik mengalami mimpi yang amat luar biasa itu.
Keesokan harinya, sebaik usai solat subuh di surau berhampiran, sekali lagi saya gagahkan diri untuk menelefon ust Tengku Mansur dan memaklumkan kepada beliau bahawa saya sudah pun membuat keputusan menerima tawaran sebagai Penasihat Syariah bagi syarikat beliau....
Wassalam
Bersambung….
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Jumaat 9 April 2016 / 1 Rejab 1437H
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.
Artikel ini boleh juga dibaca di –www.drnikrahim.com-

No comments:

Post a Comment