Tuesday, April 19, 2016

~ KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 25)


SIMPAN DI TABUNG HAJI (TH) BELUM TENTU BOLEH NAIK HAJI?
Salam sahabat yang dikasihi. Moga berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah sepanjang masa dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi cobaan hidup yang sungguh mencabar… Ameen!
Mungkin ramai yang mengerutkan dahi mereka bila baca tajuk bicara kita kali ini. Mana mungkin, menyimpan dalam Tabung Haji (TH) belum tentu boleh naik haji! Bukankah TH dijamin oleh kerajaan? Mungkin dah ramai yang tahu dan faham, bahawa konsep yang diamalkan oleh TH ialah simpanan berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah iaitu konsep simpanan yang mana TH sebagai penjaga (custodian), bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Dalam kontrak ini, pendeposit telah memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan/meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Kesan daripada kebenaran ini, TH/kerajaan akan menjamin wang yang diletakkan di bawah jagaannya. Dari sudut keuntungan yang diperolehi, ia adalah milik penuh TH. Keuntungan yang diagihkan kepada pendeposit adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan yang berlainan kepada para pendeposit.
Maksudnya di sini, kalau TH jatuh bankrap dan collapse, kerajaan akan bayar balik simpanan anda. Kalau macam tu kenapa pulak kata ‘belum tentu’ dapat naik haji kalau duit dah cukup dan nama pun dah ‘naik’?
Jawapannya mudah saja! Kalau anda mati, boleh ke anda naik haji walaupun duit anda lebih dari cukup dan nama anda pun sudah terpilih? Kalau anda sakit macamana? Kalau duit yang dah cukup tu anda terpaksa guna untuk rawat penyakit anda atau mungkin bukan anda, tapi isteri tercinta anda, atau suami yang anda kasihi, atau anak-anak yang menjadi penawar duka anda, atau ibu bapa yang kini sedang terlantar? Sebenarnya terlalu banyak yang boleh jadi ‘penghalang’ kepada anda untuk menunaikan haji.
Saya sebut TH hanya sekadar menjadikan contoh. Contoh yang mudah anda fahami sebab majoriti umat Islam yang ada kesedaran tentang kewajipan menunaikan rukun Islam ke 5 itu ‘WAJIB’ ada menyimpan dalam TH. Saya kata ‘tidak ada jaminan’ atau ‘belum tentu’ boleh naik haji bukan nak menggambarkan bahawa TH kini tidak boleh dipercayai walaupun terdapat segelintir yang mengeluarkan wang simpanan mereka dari TH kerana ragu atau sangsi tentang kewibawaan pengurusan yang ada.
Situasi ini berlaku apabila Lembaga Tabung Haji dilaporkan membeli tanah milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang sedang dibangunkan.
Namun itu mungkin hanya sejumlah yang kecil sahaja dan ianya tidak mampu memberi apa-apa kesan yang siginifikan terhadap jumlah deposit yang tersimpan di TH.
Apa yang ingin saya kongsikan ialah tentang betapa terdedahnya kita kepada pelbagai risiko yang datangnya pantas seperti kilat menyambar. Terlalu pantas. Bila anda sedar segalanya sudah terlambat. All GONE! Inilah yang bakal berlaku jika anda tidak merancang dengan teliti.
Memang amat bagus jika anda dah ada keinginan yang membuak-buat untuk menyimpan dan menabung kerana itu adalah rukun yang pertama untuk anda jadi kaya @jutawan, namum rukun menabung ini TIDAK SEMPURNA tanpa rukun kedua ini iaitu TAKAFUL. Kenapa takaful? Sebab takaful adalah satu produk yang berbentuk HALALAN TOYYIBAN. Halal lagi baik. Macamana pulak dengan insurans konvensional? Insurans konvensional mungkin ada TOYYIBAN atau kebaikannya namun yang pasti ianya bukan HALALAN tapi HARAMAN atau dalam bahasa kampungnya HARAM!. Dalam siri yang lepas saya dah jelaskan tentang isu ini dan kenapa insurans konvensional itu haram.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapalah saya beria-ia sangat ‘mempromosi’ produk takaful? Apakah ada ‘udang di sebalik mee? Sebenarnya saya tiada muslihat atau niat tersirat. Saya kongsi semua ini only for ONE reason. Satu saja matlamat saya. Saya ingin menjadi PENYELAMAT kepada anda di luar sana. Ya! PENYELAMAT! Sebab ramai sekali umat Islam yang terlalu JAHIL tentang perancangan kewangan Islam. Saya tak malu untuk mengaku bahawa saya juga macam anda suatu ketika dulu. JAHIL tapi buat-buat pandai!. Akhirnya merana sepanjang hidup. Saya tak mahu anda jadi seperti saya. Saya selalu pesan kepada anak-anak saya dan juga pelajar-pelajar saya bahkan juga dengan teman-teman rapat saya:
~ JANGAN SEKALI-KALI BUAT SILAP DALAM KEHIDUPAN KERANA IA AKAN MENGAMBIL MASA YANG AMAT PANJANG UNTUK MEMPERBAIKINYA BAHKAN KADANGKALA KITA LANGSUNG TIDAK BERPELUANG MEMPERBAIKINYA SEHINGGALAH KITA PERGI MENEMUI PENCIPTA KITA – ALLAH~
Malam tadi saya pulang agak lewat ke rumah. Lebih kurang jam 12.30 pagi baru sampai. Kebetulan sempat bersembang dengan anak lelaki saya Nik Amru Al-Aass. Beliau berterima kasih kepada saya kerana memberi nasihat dan teguran yang “TEPAT PADA MASANYA”. Saya berjaya ‘menyelamatkan’ wang beliau sebanyak RM3,000 yang diperuntukkan untuk membeli handphone model terbaru Samsung!
Inilah matlamat saya dan saya berdoa agar Allah terima ia sebagai amal soleh. Saya dah berusia 53 tahun pada bulan Oktober 2016 ini dan bagi saya tiada matlamat yang lebih besar untuk saya capai sebelum saya mengadap Al Khaliq – Yang Maha Pencipta – selain memperoleh redhaNya.
Berbalik kepada bicara kita tentang KEWAJIPAN memiliki takaful. Takaful secara mudah untuk kita faham, sama dengan apa yang orang-orang kampung buat di masjid dan juga surau-surau. Mereka ada Tabung khairat kematian. Konsep takaful samalah macam Tabung khairat itu. Yang berbeza cuma kaedah pengendalian, sistem dan jumlah yang disumbangkan. Ahli qariah yang menyumbang dengan rela hati, menyedekahkan wang sumbangan kepada sesiapa sahaja yang ditimpa musibah tanpa soal. Mereka menyumbang kerana Allah! Kalau ditakdirkan mereka panjang umur, maka lambatlah sumbangan khairat kematian diperolehi oleh keluarganya. Kalau nak cepat kenalah mati cepat!
Takaful adalah PENYELAMAT kepada simpanan dan tabungan anda. Sebab itulah ia menjadi RUKUN yang penting dalam proses untuk menjadi kaya @jutawan. Anda mungkin tidak perlu takaful kalau anda sudah bergelar multi-millionaires. Sudah ada puluhan juta ringgit dalam akaun. Kerana anda boleh sahaja menggunakan wang tersebut untuk membuat rawatan bahkan ianya mungkin tidak kehabisan kerana wang tersebut juga dilaburkan dan menghasilkan laba dan keuntungan tanpa henti walaupun anda sedang ‘beristirihat’ di kamar berhawa dingin di hospital pakar jantung sebagai contoh. Bahkan wang anda akan terus menabur bakti kepada anda walaupun anda sudah berada nun jauh di alam barzakh. Lihat! Betapa setianya wang anda kepada anda kerana anda telah menjaganya dengan baik semasa anda hidup.
Untuk makluman anda, orang yang ada berjuta-juta ringgit wang dalam akaun mereka, akan mengambil takaful lebih banyak dari anda. Kenapa? Sebab bila mereka mati, mereka akan tinggalkan wang yang lebih besar kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka. Sebab itu kita tengok orang-orang kaya, mereka akan terus menjadi kaya apabila berlaku kematian dalam keluarga kerana wang mereka berganda bila mereka meninggal dunia. Bagi tokey-tokey besar, PERLINDUNGAN mereka mungkin mencecah puluhan bahkan ratusan juta ringgit!
Di Amerika se orang billionaire dikatakan mengambil polisi insurans tertinggi dalam sejarah apabila mengambil polisi perlindungan bernilai USD $201 juta atau kurang lebih RM780 juta. Ini bermakna, apabila beliau meninggal dunia maka syarikat insuran tersebut akan membayar jumlah tersebut kepada waris-warisnya. Wang sebanyak itu bertujuan untuk mempastikan bahawa perniagaan beliau tidak terjejas walaupun selepas kematian beliau.
Itu cerita orang kaya. Namun jika wang dan aset anda hanya seciput, atau baru-baru nak belajar menabung maka anda pastinya lebih WAJIB…saya ulangi sekali lagi, anda WAJIB ambil takaful sekarang. Ya ! sekarang, bukan karang, atau Sekejap lagi, atau esok tapi sekarang kerana jika anda tidak bertindak sekarang, anda mungkin tidak akan ada apa-apa peluang lagi. Musibah – kemalangan, penyakit, kematian datang tanpa sebarang signal dan isyarat. Datangnya tanpa meminta izin anda terlebih dahulu!
Bagaimana TAKAFUL bertindak melindungi wang simpanan anda?
Mudah saja. Jika anda ada polisi takaful dan dalam masa yang sama ada simpanan dan pelaburan, maka jika berlaku apa-apa musibah seperti kemalangan dan penyakit kritikal seperti sakit jantung, buah pinggang, Kanser, Parkinson dan lain-lain maka pihak takaful akan membayar keseluruhan kos rawatan anda di hospital termasuk bayaran semasa tinggal di dalam wad, rawatan doktor pakar, ubat-ubatan, bahkan anda diberi elaun harian sepanjang anda berada di hospital.!
Namun ini semua bergantung kepada jenis atau plan takaful yang anda ambil. Jadi jika pihak takaful yang membayar keseluruhan kos rawatan anda, maka anda boleh meneruskan agenda anda apabila anda sembuh nanti. Jika anda mahu menunaikan haji dan umrah, anda masih boleh melakukannya kerana wang anda masih belum terusik. Begitu juga jika anda ingin berniaga atau melabur.
Untuk perincian produk dan berapa caruman yang harus anda buat, anda boleh saja hubungi ejen-ejen takaful yang sentiasa menanti kedatangan anda. Kalau anda call ejen pada masa beliau sedang nyenyak tidur jam 2 pagi dan anda bagitau mahu ambil polisi takaful dalam jumlah yang besar, pasti dia akan bingkas bangun dan bersedia menemui anda di mana sahaja. Saya bercerita melalui pengalaman sebagai ejen takaful!
Lihat! Dengan hanya sedikit ilmu dan tindakan, Ia mampu mengubah segalanya!

Wassalam – Bersambung…..
“Saya mahu anda jadi Jutawan dengan tips yang saya kongsikan.”
Artikel ini boleh juga anda baca di:
~JANGAN JADI SEPERTI SAYA!”~
~ Ikhlas~
Ust Dr Nik Rahim Abu Umair Al-Nikmy
USIM, Nilai, Negeri Sembilan
Sabtu 2 April 2016 / 24 Jamadil Akhir 1437
‪#‎Kenapasayatidakjadijutawan‬
‪#‎jutawanmuslim‬
‪#‎jutawanmukmin‬
‪#‎sharingiscaring‬ – jika anda merasakan bahawa perkongsian ini bermanfaat, kenapa tidak anda share dengan sahabat-sahabat anda yang lain agar mereka juga beroleh manafaat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...