Monday, March 14, 2016

"KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?" - PART 1 - PART 5

Salam sahabat semua,Moga dirahmati Allah setiap masa.
Dah lama saya pendam. Nak sangat kongsi dengan sahabat semua "Kenapa Saya Tidak Jadi Jutawan?" Sedangkan saya sebenarnya sudah terlalu hampir untuk menggapai status 'jutawan' itu sekitar tahun 1996-2005 semasa berada di Brunei Darussalam. Soalan ini nanti akan saya jadikan topik buku tulisan saya insya Allah. Namun sebelum buku tersebut menjadi realiti saya akan kongsikan dengan sahabat apabila saya punyai ruang masa yg mengizinkan.


"KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?"
(Part 1)
Salam sahabat semua. Bila kita sebut tentang jutawan, pasti tergambar dalam imiginasi kita gambaran kemewahan yang amat sinonim dengan status mereka yang bergelar jutawan. Berkereta mewah, berumah besar yang tersergam indah, berpakaian jenama terkenal, terbang ke sana kemari, makan minum tanpa had dan macam-macam lagi gambaran-gambaran indah yang sering diimpikan oleh ramai orang.
Namun tidak ramai yang mampu menggambarkan atau tidak tahu bagaimana sebenarnya liku-liku perjalanan yang dilalui atau ciri-ciri yang dimiliki oleh para jutawan tersebut sebelum mereka menggapai title tersebut.
Berdasarkan kepada pengalaman saya terdapat 3 elemen penting yang perlu ada bagi setiap individu yang mempunyai impian untuk bergelar jutawan.
Pertama: Berjimat cermat.
Orang yang boros dan berbelanja secara tidak berhemah usah mimpi untuk jadi jutawan walau sebesar mana pendapatan yang mereka perolehi. Saya bercakap tentang orang biasa macam saya dan sebahagian besar pembaca dan bukan mereka yang 'born millionaires'. Saya akan ceritakan pengalaman saya dalam isu yang kritikal ini dalam siri yang akan datang insya Allah.
Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy.
Merapoh, 12Mac 2016.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?
Part 2.
Salam sahabat semua. Sebelum saya kongsi tentang pengalaman saya tentang elemen pertama yang menjadi asas utama untuk menjadi jutawan iaitu "berjimat cermat" saya ingin berkongsi dahulu tentang sebab kenapa saya begitu serius untuk menjadi jutawan.
Saya dari keluarga yang susah. Ayahnda dan bonda saya hanya orang kampung biasa. Hidup kami amat sederhana. Makan dan pakai seadanya. Sebaik selepas solat subuh ayah terus ke kebun mak pula uruskan anak-anak. Begitulah rutin ayah bonda saban hari sehinggalah usia ayah bonda merangkak senja. Saya dapat rasakan betapa sukarnya ayah bonda yang terpaksa membanting tulang demi sesuap nasi dan menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak seramai 9 orang. Setiap kali apabila cuti sekolah kami anak-anak dikerah ke kebun untuk membantu meringankan beban ayah bonda.
Bertolak dari rasa simpati tersebut saya bertekad untuk merobah keadaan ini. Saya tidak rela melihat ayah bonda terus menerus memerah keringat demi kami. Saya menanam azam untuk belajar sehingga ke peringkat paling tinggi dengan harapan bila bekerja nanti mampu merobah nasib ayah bonda serta adik beradik yang hidup dalam kesukaran pada saat itu.
Pada tahun 1996 saya memperolehi ijazah P.hd dari sebuah universiti di Scotland dan bekerja di salah sebuah universiti di Malaysia. Namun sangkaan saya bahawa dengan berkelulusan P.hd saya mampu meraih gaji yang lumayan rupanya meleset begitu jauh sekali. Ya! Gaji P.hd saya jauh dari mencukupi apalagi untuk membantu ayah bonda dan juga kaum kerabat. Dari situ saya berazam dan tidak berhenti berusaha untuk jadi kaya..untuk jadi jutawan..bukan untuk saya tapi untuk ayah bonda saya...untuk kaum kerabat saya..untuk jiran tetangga saya...untuk agama..untuk saudara seagama yang ditindas di Gaza Palestine...di Syria..di Burma...di mana sahaja. Saya tidak mahu hanya memperoleh pahala niat semata-mata. Saya mahu infaq dan memberi manafaat sebanyaknya semasa saya hidup selari dengan hadith Nabi s.a.w " Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manafaat kepada manusia lain."
Jadi sebagai conclusion...saya perlu jadi jutawan...saya perlu jadi kaya...agar saya boleh berbakti kepada semua.
Wallahu a'lam.
Bersambung di part ke 3 insya Allah.
Dr Nik Rahim Abu Umair.
12 Mac 2016 - stesen bas Machang Kelantan.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (Part 3)
Salam sahabat. Moga dirahmati Allah selalu. Ameen.
Mungkin ramai yang tersenyum sinis bila saya sebutkan dalam tulisan saya di dalam part 1 bahawa saya sudah terlalu hampir untuk menjadi jutawan. Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa yang menyebabkan saya begitu yakin akan bergelar jutawan pada masa sekarang ini?
Baiklah..begini ceritanya..semasa saya bekerja di sebuah universiti sebaik menamatkan Phd pada tahun 1996 saya dilantik untuk memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pemakanan dan Perkhidmatan universiti dan diberikan eluan bulanan sebanyak RM2000. Jawatan ini diwujudkan oleh Jabatan Rektor bagi menjamin kualiti pemakanan dan perkhidmatan warga universiti. Ini berlaku pada tahun 1998-1999. Hati saya tersangat gembira sebab jumlah itu agak besar dan kehidupan saya dan keluarga sedikit demi sedikit mula bertukar menjadi sedikit mewah. Namun "kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Jawatan yang disandang hanya selama 9 bulan tiba-tiba dimansukhkan akibat pergolakan politik pada masa itu. Presiden telah ditukar. Bila presiden ditukar maka secara lumrahnya rektor yang dilantik oleh presiden juga turut bertukar dan ini turut membabitkan saya kerana jawatan saya diwujudkan oleh rektor. Saya turut terkesan dengan konflik politik yang saya bukan sebahagian darinya. Saya diarahkan kembali ke jabatan dan meneruskan kembali tugas hakiki saya iaitu sebagai pensyarah di bahagian Syariah.
Akibat dari ini saya kehilangan RM2000 secara tiba-tiba. Bayangkan betapa sukar kehidupan bila kehilangan sejumlah wang yang sebegitu besar dalam keadaan pelbagai komitment kewangan telah dilakukan termasuk ansuran rumah, perbelanjaan keluarga, ibu bapa di kampung dan lain-lain. Nafas saya menjadi sesak. Apa yang patut saya lakukan? Fikir punya fikir akhirnya saya membuat keputusan untuk berhijrah. Tapi ke mana? Saya membuat beberapa pencarian dan akhirnya saya membuat keputusan untuk bekerja di Brunei.
Maka bermulalah episod paling indah dalam hidup saya dan keluarga. Pada tanggal 1hb Julai 1999 saya memulakan tugas di sebuah universiti di Brunei Darussalam. Saya bersyukur kepada Allah kerana dalam tempoh 6 tahun bekerja di Brunei saya berjaya mengumpulkan sebanyak RM740,000.00 termasuk gaji, bonus, gratuiti dan lain-lain. Setelah ditolak RM240,000.00 untuk perbelanjaan keluarga,membayar hutang lapok termasuk membayar balik sejumlah wang kepada pihak kerajaan kerana terpaksa membatalkan kontrak dengan tempat kerja lama, menghantar wang elaun bulanan kepada ayah bonda tercinta, maka masih terbaki RM500,000.00 atau dalam erti kata lain - setengah juta- maka atas asas ini saya berani mengatakan bahawa jika wang sebanyak ini ada di tangan se orang investor atau business man, saya yakin hanya dalam masa kurang dari 10 tahun, jumlah ini akan berganda menjadi RM1juta. Untuk contoh yang paling mudah jika saya membeli dua buah rumah teres sekitar tahun 2005 selepas saya ditamatkan perkhidmatan di Brunei Darussalam, dan nilai kenaikan hanya sebanyak 10% setahun, nilai rumah tersebut kini sudah melebihi 100% kenaikan. Ini bermakna nilai dua buah rumah yang dibeli pada 2005 kini sudah bernilai RM1juta. Dan saya sudah bergelar jutawan!
Cuma persoalannya, kenapa ini tidak berlaku kepada saya? Kenapa saya tidak invest wang tersebut? Atau melibatkan diri dalam perniagaan?
Insya Allah akan saya jawap semua persoalan ini dalam siri-siri akan datang insya Allah.
" saya mahu jadikan anda se orang Jutawan melalui tips yang saya kongsikan ini"
Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
12 Mac 2016
Kemuning, Machang Kelantan.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN?- PART 4
Sahabat yang dikasihi. Di dalam siri yang lalu saya ada menyebutkan bahawa -berjimat cermat- adalah elemen paling penting untuk menjadi se orang jutawan. Jika anda tiada elemen ini dan sentiasa boros belanja hingga lupa dunia,lupakan saja impian anda kerana anda MUSTAHIL untuk mencapainya kecuali anda sememangnya ' born millionaires'.
Terus terang saya katakan, saya memang dalam kategori ini. Saya memang amat boros. Belanja hingga lupa dunia. Saya pernah habiskan sekitar RM20,000 hanya dalam beberapa bulan - bershopping sakan - melalui satu portal online shopping yang amat terkenal pada masa itu iaitu e-bay. Saya pernah beli video recorder yang belum lagi sampai ke Malaysia pada masa itu. Saya beli bola boling kegemaran saya dari US. Peralatan untuk sukan equestrian dan berbagai-bagai lagi barang-barang kesukaan saya. Pernah suatu hari isteri menegur. Kata isteri tak baik abang membazir. Saya terus tanya isteri, apa definisi membazir? Isteri terkedu dan kelu tak terkata. Saya kata membazir itu kalau kita beli kemudian kita tidak pakai atau beli suatu yang tidak memberi manafaat kepada kita sedangkan apa yang dibeli pada pandangan saya ketika itu amat bermanafaat. Jika soalan itu ditanya kepada saya sekarang, pasti saya akan bersetuju 100% dengan pandangan isteri. Sejak itu isteri tidak lagi berani menegur dan saya semakin galak berbelanja.
Suatu hari bonda saya bertanya: " sejak duduk Brunei kerap balik..". Memang betul. Saya akui saya memang lebih kerap balik semasa bekerja di Brunei berbanding semasa bekerja di Kuala Lumpur. Bila balik mesti singgah berihat di KL untuk dua tiga hari santai di hotel 5 bintang. Sewaktu itu saya selalu beranggapan tidak salah untuk 'reward' diri sendiri setelah berpenat lelah mencari rezki. Lagipun kalau belanja RM3,000 baru B$1,000. Tak jejas pun gaji bulanan saya yang berjumlah B$4000 pada masa itu.
Salah satu 'kegilaan' saya semasa di Brunei ialah membeli kenderaan mewah. Mungkin sedikit sebanyak ada pengaruh syarikat jualan langsung dalam diri saya yang menyebabkan saya selalu mengidamkan kereta mewah. Kereta Pajero adalah kereta impian saya. Sebaik mendapat free interest loan dari universiti saya terus memburu kereta impian saya. Akhirnya Pajero V6 menjadi milik saya.
Namun nafsu memiliki kereta mewah tak pernah padam dari dalam diri saya. Meskipun memiliki kereta Pajero tersebut mata saya sering menjeling kepada kereta yang lebih mewah dan lebih "power". Sebaik tamat kontrak yang pertama saya dianugerahkan gratuiti oleh pihak universiti sebanyak B$40,000. Dengan duit ini saya 'sambar' sebuah kereta Mercedes C280. Wah..kereta Merc ini ternyata lebih mewah, bergaya dan jauh lebih 'power' dari Pajero. Saya amat berpuas hati dan pastinya amat bersyukur kepada Allah atas kurniaan ini.
Meskipun gaya hidup saya agak mewah, saya tidak lupa ayahnda dan bonda di kampung. Setiap bulan tidak kurang RM1,000 saya hantar kepada ayah bonda untuk perbelanjaan mereka. Saya juga bantu ayah bonda untuk tunaikan fardhu haji ke Mekah. Selain itu saya sempat juga membeli sedikit aset di kampung. Belanja sekolah anak-anak juga amat mewah pada ketika itu. Pernah saya hadiahkan wang sebanyak B$500 atau lebih kurang RM1,500 kepada anak yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekolah rendah. Ahamdulillah.
Jika sahabat semua melihat gaya dan trend saya berbelanja, pasti sahabat semua dapat menelah bahawa inilah antara 'pemusnah impian' saya untuk menjadi jutawan. Saya akui saya memang tak dapat dan tak kuat untuk mengawal NAFSU untuk berbelanja. Memang telahan anda benar sekali...inilah pemusnah No.1 kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi jutawan. Yakinlah...JIKA ANDA MAMPU MENGAWAL NASFU BERBELANJA DAN MENGAMALKAN SIFAT SUKA BERJIMAT CERMAT, ANDA PASTI AKAN HIDUP LEBIH MEWAH DAN SENANG BERBANDING ORANG LAIN YANG TIDAK MAMPU MENGAWAL NASFU BELANJA MEREKA...WALAUPUN MUNGKIN ANDA TIDAK MAMPU MENJADI JUTAWAN.
Sekian Wassalam - bersambung.
" saya ingin anda menjadi jutawan dengan mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang sama yang pernah saya lakukan suatu masa dahulu"
Ikhlas
Dr Nik Rahim Abu Umair
Kota Bharu Aiport
13 Mac 2016.

KENAPA SAYA TIDAK JADI JUTAWAN? (PART 5)
Salam ukhuwah untuk semua sahabat yang dirahmati Allah. Moga dirahmati Allah selalu.
Ramai yang mungkin bersetuju dengan saya termasuk sifu2 dalam bidang financial planning bahawa - berjimat cermat adalah rukun paling utama untuk jadi kaya - untuk jadi jutawan. So, kalau anda memang betul serius nak jadi jutawan, anda WAJIB melatih diri untuk berjimat cermat. Sifirnya amat mudah. Bila kita berjimat cermat maka secara lumrahnya akan ada lebihan dari pendapatan kita. Bila ada lebihan maka itu dinamakan saving atau simpanan. Bila ada duit simpanan maka ada peluang untuk buat pelaburan dan bila ada peluang untuk buat pelaburan maka pastinya ada peluang untuk jadi kaya.
Tapi macamana nak berjimat cermat kalau otak dok fikir nak belanja saja? Saya ada membaca satu buku tentang perancangan kewangan dan dalam buku tersebut pengarang menyebutkan bahawa cara terbaik untuk buat saving ialah dengan cara 'forced saving'. Maksudnya bila dapat saja gaji, bayar untuk diri sendiri dulu. Ambil 5-10% dari gaji atau pendapatan bulanan dan asingkan. Simpan duit tersebut di tempat yang susah untuk diambil contohnnya dalam akaun bank yang tiada cawangan yang berhampiran dan jangan buat ATM kad. Dengan cara ini maka kita tiada pilihan kecuali terpaksa 'berjimat'. Alhamdulillah ini merupakan ide yang amat bagus dan saya yakin ramai yang berjaya menabung melalui 'forced saving' seperti ini.
Namun malang 'it didnt work for me'. Cara ini langsung tidak berkesan kepada saya. Kenapa yer? Tidak lain adalah kerana saya belum lagi berjaya untuk merawat 'penyakit' suka berbelanja. Jadi bila saya masih gagal mengawal nafsu berbelanja, maka sudah tentu wang gaji yang diperolehi tidak cukup. Bila wang gaji tidak cukup untuk belanja dapur, persekolahan anak dan lain-lain, agak-agak duit mana yang akan saya cari? pinjam kawan? pinjam duit mak ayah? puasa sampai akhir bulan? jawapannya - mustahil! Mana mungkin pinjam duit kalau saving kita masih ada? Letaklah duit kat mana saja..soroklah dekat bawah tujuh lapisan bumi pun pasti akan berusaha untuk menggali dan mendapatkannya dan akhinya 'back to square one!'. Gagal lagi! Kena mula lagi dari '0'. Kalau macam ni punya cerita, memang gelaplah masa depan..tak merasalah nak jadi jutawan!
Jadi apa nak buat sekarang?
Baiklah..saya kongsikan apa yang saya pernah buat dan alhamdulillah saya berjaya berjimat cermat meskipun jalan untuk menggapai cita-cita untuk menjadi jutawan kelihatan terlalu sayup dengan usia yang sudah menjangkau 5 series ini. Namun usia tidak pernah menghalang saya mengejar cita-cita tersebut bahkan semakin hari semakin membara dalam jiwa kerana bagi saya, kaya bukan untuk dunia...saya kaya untuk membina jambatan kukuh menuju syurga insya Allah.
Saya amat terhutang budi dengan Mr Robert Kiyosaki kerana bukunya " Rich Dad Poor Dad" telah banyak merobah cara saya berfikir dan cara saya mengatur kewangan saya. Ide yang ditulis oleh beliau benar-benar menjadikan saya se orang yang 'baru' dalam bertindak dan lebih matang dalam mengurus perbelanjaan. Moga Allah memberi hidayah kepada beliau dan menjadikan beliau se orang Muslim yang taat. Ameen.
Robert Kiyosaki menyarankan agar kita bertanya kepada diri sendiri setiap kali kita mahu berbelanja, apakah barang yang hendak aku beli ini 'penting'? atau tidak. Kalau diri anda sememangnya sudah pass ujian kelayakan menjadi insan yang tunduk dan patuh dan punyai tekad yang amat kuat untuk berjimat cermat, pastinya anda akan memberi jawapan yang ikhlas bila soalan itu diajukan kepada anda oleh diri anda sendiri!. Pelik sikit bunyi bila anda bertanya kepada diri anda sendiri kan? tapi pada hakikatnya ia boleh dilakukan. Cuba anda ajukan apa-apa saja soalan, kepada diri anda sendiri. Sebagai contoh, mahu tak kamu jadi jutawan? anda pasti akan mendapat jawapan yang jelas walaupun tanpa suara,
Di dalam diri kita ada nafsu dan nafsu sentiasa cuba mengheret kita ke arah kebinasaan seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran sebagai nafsu ammarah. Namun nafsu sebenarnya tidak sehebat mana jika kita se orang yang kuat berpegang kepada prinsip agama dan prinsip hidup yang jelas. Nafsu akan menuruti tuannya.
Berbalik kepada soalan yang perlu dilontarkan setiap kali kita mahu membeli sesuatu samada ianya 'PENTING' atau tidak, maka jika anda kata ianya tidak penting, maka nafsu anda akan akur dan tunduk walaupun mungkin nafsu anda cuba membawa kepada anda berbagai hujah untuk mempengaruhi anda. You are the BOSS! tunjukkan kehebatan anda dengan tidak tunduk kepada nafsu anda. Nafsu anda adalah HAMBA kepada anda dan anda bukan HAMBA kepada NAFSU!
Sebagai contoh jika anda ke shopping mall walaupun pada asalnya cuma nak 'window shopping' saja tapi tiba-tiba anda tengok ada sales. Kasut yang branded yang memang sering anda intai setiap kali ke shopping mall walaupun sudah penuh almari kasut anda dengan kasut-kasut yang anda bukan pakai pun kecuali sekali sekala sahaja!
Sebaik melihat SALES...Nafsu anda akan cuit anda...BOSS ada sales lah! kalau anda kata NO! mungkin nafsu akan akan cuba berdebat dan bertanya balik, why not? Kenapa pulak tak boleh? Maka anda jawab sebab tak penting. Kenapa tak penting? Ni kan sales..boleh jimat duit...nafsu anda cuba pertahankan. Hello! anda cuba bagi nafsu sedar dari dari 'mimpi'nya... tu yang penuh almari tu tak cukup ker? Membazirlah you ni, membazir tu saudara syaitan, tau tak?? Alamak...terkantoilah macam ni!....akhirnya nafsu anda akan akur dan melupakan hasrat untuk membeli kasut baru tersebut. Anda terselamat!
Percayalah kalau anda berjaya mendidik diri anda dengan didikan sempurna dan bertekad untuk tidak membeli suatu yang tidak PENTING,..bawalah ribuan ringgit dalam poket..kad kredit gold dan platinum sekali pun..anda akan hilang 'selera' untuk bershopping sebab bila nafsu jeling saja kepada apa-apa barang, anda akan tanya kepada nafsu..penting ker? Dan nafsu anda akan kalah....Sebab nafsu anda tahu jawapannya! ianya TIDAK PENTING!
Baiklah...macamana pula nak tau penting atau tidak suatu barangan untuk dibeli itu? Apa neraca pertimbangan untuk kita tahu samada apa yang mahu dibeli itu penting atau tidak? mudah saja...suatu barangan itu adalah PENTING jika anda terpaksa hidup dalam keadaan kesusahan jika tidak beli barangan tersebut.
Sebagai contoh, anda baru kerja 6 bulan dengan gaji RM2,500 sebulan. Anda perlu kenderaan untuk ke tempat kerja kerana tempat kerja anda terlalu jauh dari laluan kenderaan awam. Jadi adalah PENTING untuk anda beli kenderaan. Tapi kenderaan apa yang PENTING? Jika anda se orang lelaki, sebenarnya membeli motosikal adalah PENTING dan bukan sebuah kereta apatah lagi jika anda masih bujang.
Apa yang anda perlu dan PENTING untuk anda adalah sebuah kenderaan dan bukan sebuah kereta. Salah se orang dari anak saya yang saya train to be a millionaire bekerja selama lebih 7 tahun dan hanya menaiki 'cub chai' saja dan alhamdulillah keadaan ekonominya jauh lebih baik dari kebanyakan teman sekerjanya. Baru-baru ni beliau membeli 4 buah kereta untuk disewa hatta kereta yang digunakannya juga turut disewa jika keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.
Saya amat optimis jika anda bersifat profesional dan ikhlas pada diri sendiri dan menjawab dengan jujur soalan:
'APAKAH PENTING UNTUK SAYA MEMBELI BARANGAN INI?
setiap kali anda ingin berbelanja, dan anda bertindak mengikut jawapan yang ikhlas itu, maka pastinya anda telah berjaya membina sebuah jambatan kukuh yang mampu membawa anda menyeberang menuju status JUTAWAN Insya Allah.
Jika anda tidak percaya, cuba ke shopping complex sekarang dengan membawa beberapa ratus ringgit di dalam poket anda dan sebaik anda melihat suatu yang anda sukai anda bertanya soalan di atas dan jawab dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab, saya yakin anda tidak akan membelinya jika ianya bukan PENTING untuk anda!
Selamat mencuba dan kongsikan pengalaman anda di sini!
"Saya mahu anda menjadi JUTAWAN melalui tips yang saya kongsikan di sini"
Wassalam
Dr Nik Rahim Abu Umair Al Nikmy
Nilai, Negeri Sembilan
14 Mac 2016
Nota: sebahagian besar tulisan ini dibuat semasa perjalanan balik saya melalui bas dari KLIA2 ke KTM Nilai.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +60148207111 Mantin, Negeri Sembilan Malaysia

4 comments:

  1. Berjuta2 ucapan terima kasih banyak2 saya ingin ucapkan kpd DR Nik Rahim kerana sudi memberi pengkongsian dan pencerahan kpd kami semua tentang perjalanan hidup anda dan semoga anda diberikan kesihatan wal afiaat dalam rangka untuk terus berkhidmat kepada ummah sekaliannya,jazakallahu khairan kathiran.

    ReplyDelete
  2. sama2 tuan. sedikit perkongsian utk dijadikan panduan dan teladan. Moga Allah meredhai. Ameen

    ReplyDelete
  3. Terima kasih ustaz

    ReplyDelete
  4. Dimana boleh dapatkan buku tuan ye

    ReplyDelete

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...