Thursday, January 19, 2023
BELI EMAS RM10.00 DI QUANTUM METAL? BIAR BETUL....
Wednesday, January 18, 2023
LANGKAH MENGHADAPI KRISIS EKONOMI DUNIA 2023
Prof Madya Dr Nik
Rahim Nik Wajis
Pensyarah Fakulti Syariah dan
Undang-Undang, USIM.
Email: drnikrahim@usim.edu.my
LANGKAH
MENGHADAPI KRISIS EKONOMI DUNIA 2023
Bank Dunia
dalam satu laporan menyebutkan bahawa dunia mungkin semakin menghampiri
kemelesetan global pada tahun 2023. Ini adalah rentetan krisis kewangan yang berlaku di seluruh dunia. Bank-bank pusat
di seluruh dunia secara serentak menaikkan kadar faedah sebagai tindak balas
kepada inflasi. Kadar faedah pada akhir tahun
2022 mencatatkan kenaikan mendadak yang mana ianya tidak pernah disaksikan sejak
lebih lima dekad yang lalu.
Memandangkan
ekonomi dunia terus menghadapi ketidaktentuan ini, maka adalah penting untuk setiap
individu dan juga pemilik perniagaan untuk mengambil langkah proaktif dan bersiap
siaga bagi menghadapi krisis ekonomi pada tahun 2023 ini. Meskipun adalah
mustahil untuk meramalkan secara tepat krisis ekonomi yang bakal berlaku, namun beberapa langkah dan strategi perlu diambil bagi memastikan individu
dan juga pemilik perniagaan bersedia untuk mengharungi sebarang kemelut ekonomi
yang mendatang.
Langkah pertama
yang wajar dilakukan untuk menghadapi krisis ekonomi pada tahun 2023 ialah
membuat perancangan kewangan. Dalam membincangkan tentang perancangan kewangan,
kisah Nabi Yusof AS yang diceritakan oleh al Quran wajar diambil pengajaran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dia (Yusuf)
berkata, "Agar kamu bercocok tanam tujuh tahun (berturut-turut)
sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di
tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.”
Surah Yusof:
Ayat 47.
Apabila bencana
menimpa negara Mesir semasa era Nabi Yusuf AS,
Baginda yang telah dilantik oleh
Raja Mesir menjawat jawatan penting bagi menguruskan khazanah negara mengingatkan rakyat Mesir
melalui tafsiran mimpi Raja, yang
mana mimpi tersebut menggambarkan bahawa negara Mesir akan mengalami kemerosotan
ekonomi yang sangat hebat akibat kemarau
di mana ladang-ladang tidak akan dapat mengeluarkan hasil. Oleh itu rakyat
harus berusaha dengan bercucuk tanam hasilnya dijaga dengan baik. Hanya sebahagian
sahaja yang digunakan sementara selebihnya disimpan untuk menghadapi suasana
kemarau yang mendatang. Pengajaran dari kisah ini adalah bahawa setiap individu
bahkan juga pemilik perniagaan perlu
sentiasa berjimat cermat dan berhemah dalam berbelanja serta sentiasa
mempastikan sebahagian hasil yang diperolehi, disimpan untuk kegunaan di
waktu-waktu sukar yang mendatang.
Perancangan kewangan
harus merangkumi belanjawan, senarai perbelanjaan, dan rancangan untuk
menyimpan dan melabur. Perancangan kewangan ini tidak akan berjaya jika
sekiranya tiada iltizam yang tinggi untuk menjayakannya. Mulakan perancangan
dengan mengawal nafsu dalam berbelanja. Berbelanja hanya jika ianya benar-benar
penting dan perlu.
Perancangan ini
juga harus disesuaikan dengan situasi kewangan sama ada individu atau pemilik perniagaan. Namun begitu
ia tidak seharusnya terlalu rigid dan tidak membenarkan sebarang fleksibiliti sekiranya berlaku kemelesetan
ekonomi di luar dugaan. Selain dari itu, adalah penting untuk menyemak perancangan yang
dilakukan secara berkala untuk
memastikan ia masih relevan dan terkini.
Langkah kedua
ialah mempelbagaikan pelaburan. Mempelbagaikan pelaburan bermaksud tidak hanya
menumpukan pelaburan dalam satu-satu portfolio sahaja. Ia harus merentas kelas
aset yang berbeza. Langkah
ini boleh membantu mengurangkan risiko dan dalam masa yang sama menyediakan masa depan
kewangan yang lebih terjamin. Selain itu, adalah penting untuk melabur dalam
aset yang tidak terikat secara langsung dengan pasaran saham, seperti emas,
perak serta mata wang kripto. Namun
begitu ia bergantung kepada kesediaan setiap individu atau pemilik perniagaan
sama ada sanggup atau tidak untuk berhadapan dengan risiko dalam pelabuan ini
khususnya yang melibatkan wang kripto kerana ia mempunyai kadar volatiliti yang
sangat tinggi. Langkah-langkah ini jika
diambil sedikit sebanyak mampu boleh memberikan perlindungan terhadap turun
naik pasaran dan membantu melindungi individu dan juga pemilik perniagaan daripada
kerugian semasa berlakunya kemelesetan ekonomi.
Langkah ketiga
ialah mewujudkan tabung kecemasan. Tabung
kecemasan ialah akaun simpanan yang
boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan yang tidak dijangka atau untuk
menyediakan sumber kewangan sekiranya berlaku krisis ekonomi. Adalah penting
untuk menyimpan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan dalam
tabung kecemasan untuk memastikan wang yang mencukupi untuk menampung sebarang
kos yang tidak dijangka.
Langkah keempat
ialah mengurangkan hutang. Mengurangkan hutang boleh membantu membebaskan
aliran tunai dan memberikan lebih fleksibiliti kewangan semasa kegawatan
ekonomi. Usah berhutang kecuali jika ia benar-benar perlu sama ada untuk
perbelanjaan berbentuk peribadi atau untuk tujuan perniagaan. Selain itu,
mengurangkan hutang boleh membantu meningkatkan kemampuan kredit, yang boleh memberi manfaat kepada
perniagaan dan individu semasa tempoh ketidaktentuan ekonomi.
Akhir sekali,
adalah penting untuk sentiasa peka dengan perkembangan ekonomi semasa dan bersedia untuk membuat pelarasan jika
perlu. Mengikuti perkembangan terkini dengan berita dan arah aliran ekonomi
boleh membantu memastikan individu dan pemilik perniagaan bersedia menghadapi sebarang krisis ekonomi
yang mungkin berlaku pada tahun 2023.
Dengan
mengikuti langkah-langkah ini, individu dan pemilik perniagaan boleh
memastikan bahawa mereka bersedia untuk menghadapi krisis ekonomi yang bakal
membadai pada tahun 2023.
Sunday, January 15, 2023
KABINET PERPADUAN NASIONAL (KPN) RUMAH SUDAH SIAP PAHAT MASIH BERBUNYI
KABINET
PERPADUAN NASIONAL (KPN)
RUMAH
SUDAH SIAP PAHAT MASIH BERBUNYI
OLEH
PROF MADYA DR NIK RAHIM NIK WAJIS
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Berakhir sudah siri penantian seluruh rakyat
Malaysia. Penantian pertama yang cukup mendebarkan adalah keputusan PRU15 yang
berlangsung pada 19hb November 2022 yang lalu. Seperti yang dijangkakan oleh
ramai penganalisis politik, tidak ada satu parti pun yang berjaya membentuk
kerajaan. Pakatan Harapan (PH) hanya memperolehi
82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 kerusi,
Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 kerusi, GRS 6, Warisan 3, Bebas 2, manakala PBM
dan KDM masing memenangi 1 kerusi.
Penantian kedua
yang tidak kurang mendebarkan adalah pembentukan kerajaan yang bermula dengan
langkah melantik Perdana Menteri. Terdapat 3 calon Perdana Menteri iaitu Datuk
Seri Anwar Ibrahim mewakili PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili PN dan Datuk
Seri Ismail Sabri mewakili BN. Bagi membentuk kerajaan, mahu tidak mahu perlu
ada persepakatan di antara parti-parti politik bagi mendapatkan
sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi memperolehi majoriti mudah dan seterusnya
membentuk kerajaan. Namun jalan yang dilalui kelihatan amat sukar. Berbagai
pihak mendakwa masing-masing telah mendapat sokongan majoriti untuk membentuk
kerajaan, namun mereka gagal membawa bukti yang kukuh ke hadapan Yang
di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (YDPA). Oleh kerana semua parti
gagal mendapat sokongan yang mencukupi, semua pemimpin utama parti telah
dipanggil mengadap. Baginda mencadangkan agar diwujudkan satu persepakatan
dalam membentuk satu kerajaan perpaduan yang menggabungkan parti-parti politik
meskipun yang berlainan dari sudut ideologi serta pendekatan mereka demi
kemaslahatan rakyat dan negara. Namun cadangan dari Baginda YDPA telah ditolak
oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin atas alasan tidak mahu mengorbankan
prinsip perjuangan dan tidak mungkin akan bersama dengan gabungan yang ada DAP
di dalamnya. Meskipun tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk penderhakaan
kepada YDPA, namun kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh PN kerana
mereka tegas mempertahankan prinsip perjuangan mereka.
BN yang pada
awalnya memberi gambaran akan memberikan sokongan kepada PH akhirnya membuat
keputusan tidak akan menyertai mana-mana gabungan dan bersedia untuk menjadi
pembangkang yang berwibawa. Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Dewan
Tertinggi BN. Keputusan untuk tidak menyertai mana-mana
gabungan oleh BN menyebabkan ‘hung
parliament’ atau Parlimen tergantung tidak dapat dihentikan. Keadaan ini tidak
harus dibiarkan berlarutan dalam tempoh yang lebih lama kerana ia akan memberi
impak yang besar kepada ekonomi dan kestabilan negara serta kesejahteraan
rakyat jelata. Justeru, YDPA telah memanggil mengadap pimpinan tinggi BN dan
menitahkan agar BN bergabung dengan mana-mana parti gabungan demi kemaslahatan
dan keharmonian rakyat dan negara. Baginda YDPA juga telah memanggil mesyuarat khas
Majlis Raja-Raja bagi membincangkan siapakah calon yang paling layak untuk dinobatkan
sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10.
Akhirnya, dengan
kehendak Allah SWT dan kebijaksanaan YDPA serta Raja-Raja Melayu, selepas 5
hari berlalu, sebuah KPN terbentuk apabila BN bersetuju untuk bergabung dengan
PH. Demikianlah berakhirnya satu penantian dan satu drama yang amat
mendebarkan. Lebih mendebarkan adalah bagi YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 setelah hampir suku
abad menanti saat ini.
Berlalu sudah dua penantian yang sangat mendebarkan.
Namun ada satu lagi penantian yang turut menjadi perhatian rakyat iaitu
pengumuman barisan kabinet perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim. Benar sekali, penantian itu satu yang menyiksakan. Kali ini pemilihan
barisan kabinet amat rumit kerana PH yang mempunyai kerusi terbesar tidak boleh
bertindak bebas melantik barisan menteri kabinet. Ini kerana mereka tidak
mempunyai kerusi majoriti yang membolehkan mereka berbuat demikian. Pemilihan
Menteri kabinet ditentukan sendiri oleh parti-parti gabungan dalam KPN.
Penantian ketiga
akhirnya tiba ke penghujungnya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan
barisan kabinet KPN. Berbagai reaksi diberikan oleh para penganalisis politik.
Ada yang menyokong, namun ramai pula yang mengkritik. Netizen juga tidak kurang
hebatnya dalam memberikan pandangan mereka masing-masing. Pengerusi PN, Tan Sri
Muhyiddin Yassin adalah antara pemimpin politik yang mengkritik keras barisan
kabinet KPN. Beliau menyifatkan barisan kabinet yang diterajui oleh Datuk Seri
Anwar Ibrahim amat mengecewakan kerana memasukkan kleptokrat dalam senarai
jemaah Menteri. Namun kritikan beliau telah dijawab segera oleh Menteri
Komunikasi dan Digital Malaysia, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. Beliau
melahirkan rasa kecewa dengan serangan yang dibuat terhadap Perdana Menteri. Beliau
menjelaskan bahawa perlantikan menteri selain dari gabungan PH bukan dibuat
oleh Perdana Menteri, akan tetapi dibuat oleh parti-parti gabungan.
Apapun kritikan dan
tohmahan yang dilemparkan kepada kabinet yang dibentuk hasil dari permuafakatan
parti-parti gabungan KPN, tindakan segera harus dilakukan. Kesetiaan dan
komitmen semua parti gabungan dalam KPN mesti terus kukuh dan tidak mudah
runtuh dan terburai dek tawaran-tawaran dunia yang menggiurkan. Kepentingan
rakyat dan negara perlu diberi keutamaan. Rakyat dahagakan perubahan dan
pembelaan. Kos sara hidup yang tinggi menghimpit kehidupan mereka. Tindakan
pantas harus dilakukan. Masa untuk berbulan madu dan berpolitik sudah berakhir.
Kini adalah masa untuk menabur bakti kepada rakyat yang telah memberikan
kepercayaan. Usah diulang kesilapan lalu kerana umat Islam tidak harus jatuh ke
dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.
Bagi rakyat pula,
mereka harus berikan sokongan terhadap usaha-usaha yang bakal dilakukan oleh
pihak KPN yang baru ditubuhkan. Cukuplah membakar api kebencian antara kaum dan
agama. Kita semua rakyat Malaysia meskipun berbeza dari sudut agama dan bangsa.
Berilah peluang kepada barisan kabinet KPN yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim kerana apa sahaja yang mereka lakukan, kita semua sebagai rakyat akan
menikmatinya meskipun kita tidak mengundi atau menyokong mereka. Sokongan dan
dokongan dari rakyat akan memudahkan
urusan pihak kerajaan melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab dengan lebih
efektif dan efisien. Usahlah menjadi seperti pepatah Melayu – Rumah sudah siap,
pahat masih berbunyi.
Featured Post
BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?
Salam sahabat semua. Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak hairanlah sejak sekian lama, emas di...

-
BENARKAH EMAS PELABURAN TERBAIK? Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis Founder DNR Gold Team Salam sahabat semua. Emas seper...
-
Kenapa Nabi Muhammad S.A.W Berhijrah Ke Madinah Pada Tahun 622 M. Hijrah berasal dari istilah hajara yang bermaksud pindah. Dalam s...
-
Salam dan selamat datang buat semua sahabat. Jutaan terima kasih buat sahabat yang berminat untuk tahu tentang cara untuk buat GCA melalui Q...