Friday, January 30, 2015

PERLAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) VS POLIGAMI

PERLAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) VS POLIGAMI
Oleh
Dr. Nik Rahim bin Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Email: drnikrahim@usim.edu.my
H/P: 014 820 7111

Mungkin ramai yang mengerutkan dahi bila membaca tajuk artikel ini. Pastinya ramai yang terpinga-pinga, apakah kaitan antara perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan  (GST) yang akan dilaksanakan pada 1hb April 2015  dengan poligami. Sebenarnya ia sekadar satu analogi di antara dua perkara yang tidak disukai oleh manusia. GST tidak disukai bahkan diperangi habis-habisan oleh sesetengah pihak. Manakala poligami juga turut diperangi oleh kebanyakan wanita tanpa mengira status. Sebut saja poligami, golongan wanit sanggup ‘berperang’ dengan suami mereka. Sama juga dengan GST ia turut sama diserang dan diperangi dari berbagai sudut oleh berbagai pihak sama ada dari parti-parti politik atau dari badan-badan bukan kerajaan (NGO).


Jika dalam poligami, si suami sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi kehendak hatinya. Pujuk rayu, janji manis, jaminan kewangan lebih lumayan,  dan berbagai lagi usaha bagi melembutkan hati si isteri agar memberi lampu hijau baginya untuk berpoligami. Bagi GST pula, pihak kerajaan adalah sama seperti suami tadi. Menerangkan kepada rakyat tentang betapa bagusnya GST ini bagi kelangsungan perkembangan ekonomi Negara, sudut-sudut positifnya, manafaat yang bakal diterima oleh rakyat dan berbagai-bagai lagi. Seminar-seminar dianjurkan. Para mufti juga tampil memebrikan fatwa dan pandangan dari sudut hukum syara’ dan keharusan melaksanakannya, Media massa mengambil peranan yang amat pro aktif dalam menyampaikan penernagan kepada rakayat agar rakyat faham dan akhirnya akur dengan patuh dengan ketetapan yang diambil oleh pihak kerajaan.
Suami pastinya akan merasa lega bila hasrat hatinya untuk berpoligami difahami oleh si isteri. Kasih sayang suami mungkin semakin bertambah subur kerana sikap isteri yang ‘sporting’ ini. Namun tidak semua suami bernasib baik. Ada suami yang terpaksa menelan air liur kerana cita-citanya untuk menambah cawangan tidak kesampaian meskipun telah melakukan segalanya untuk memahamkan si isteri. Isteri bertegas samada si suami lupakan niat untuk berkahwin lagi atau ceraikan dia.
Kebanyakan suami yang matang dan bijak tidak akan sanggup menggadai kebahagiaan rumahtangga yang telah sekian lama terbina dengan rumahtangga yang baru bakal terbina dan belum tentu berapa lama akan bertahan. Walaupun terpaksa menjeruk hati, namun pasrah dengan suratan takdir. Impiannya tidak jadi kenyataan. Namun bagi suami yang sudah nekad untuk beristeri lagi, cita-citanya tidak mungkin dihalang meskipun dibentangkan di hadapannya lautan api, pasti sanggup diharungi. Isteri marah dipekakkan telinga. Isteri menengkin dia hanya menjeling. Cita-citanya tercapai,itu yang terpenting.
Begitu juga dengan GST. Setelah pihak kerajaan melalui pelbagai medium berusaha untuk memberi kefahaman kepada rakyat, akhirnya pasti ada yang memahami dan merimanya dengan hati yang terbuka. Kerajaan pasti senang hati berhadapan dengan golongan yang tidak sukar dipujuk dan difahamkan.
Namun tidak semua rakyat dapat menerima segala apa yang diterangkan oleh kerajaan dengan mudah. Meskipun telah dijelaskan oleh pihak kerajaan bahawa GST tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas, pengangkutan awam, tol, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, pengeluaran pasport dan lesen, penggunaan elektrik bagi 200 unit pertama bagi pengguna domestik dan pelbagai barangan asas dan perkhidmatan lain, namun ada yang terus menerus menolak dan membangkang meskipun mereka sedar bahawa  kerajaan tetap dengan pendirian. GST mesti dijalankan. Rakyat tiada pilihan. Masa untuk perdebatan telah berlalu.
Apabila sang suami bertegas untuk bermadu, maka berpecahlah golongan siteri kepada dua golongan. Golongan pertama, pasrah dan redha kerana yakin sememangnya itu sudah suratan. Berjuang tetap berjuang. Usaha tetap berusaha untuk menghalang. Tapi jika suami tetap dengan pendirian, maka si siteri pasrah pada takdir dan yakin bahawa pastinya terdapat hikmah disebalik segalanya. Golongan kedua ialah golongan yang menentang habis-habisan. Sehingga akhirnya suami rela tidak bermadu. Dalam keadaan ini isteri dikira bernasib baik. Namun akan menjadi malang kepada si isteri bahkan juga kepada rumahtangga yang terbina, apabila si isteri berkeras untuk tidak membenarkan dan suami pula betegas untuk meneruskan. Dalam keadaan seperti ini, apakah yang harus dilakukan oleh isteri? Apakah harus si isteri terus menerus menyerang si suami sedangkan si suami telahpun mendirikan mahligai perkahwinannya yang baru? Apakah tindakan menyerang dan keengganan untuk akur dengan kehendak suami dan pastinya kehendak takdir juga,  merupakan tindakan yang bijak? Sama-samalah fikirkan. Tepuk dada tanyalah iman.
Sama keadaannya dengan pihak kerajaan. Setelah melakukan segalanya untuk meyakinkan rakyat tentang kebaikana GST, pastinya ada rakyat yang akur dan boleh menerimanya dengan hati yang terbuka. Namun ada pula yang terus menerus akan menolak dan enggan menerima meskipun mereka tahu bahawa kerajaan tetap akan melaksanaknnya. Persoalannya, apakah bijak untuk terus mengkritik dan menentang perlaksanaan GST sedangkan mereka tahu bahawa kerajaan tetap akan melaksanaknnya? Apakah bijak untuk terus menentang dan menghentam tanpa berusaha melakukan sesuatu bersesuaian dengan keperluan semasa seperti berjimat cermat, mencari pendapatan sampingan dan sebagainya? Terpulang kepada anda sekelian untuk menjawabnya.
Namun si suami yang berjaya menggapai citanya untuk berpoligami, tidak kira samada dengan iringan keredhaan isteri atau dengan cemuhan dan cacian, jangan pula mendabik dada merasakn diri hebat. Jangan mengambil kesempatan terhadap si isteri. Isteri yang merelakan bukan bermakna mereka lemah. Tapi mereka rasional dalam membuat keputusan. Bagi isteri yang menentang, mereka pastinya punyai  alasan tersendiri. Tunaikan tanggungjawab dengan adil dan saksama. Jangan sesekali melebihkan isteri yang baru walaupun hati amat cenderung untuik melakukannya. Buktikan bahawa anda sememangnya mampu untuk berlaku adil. Lama kelamaan, isteri anda yang pada mulanya menentang, akan merasakan bahawa anda memang layak untuk menjadi suami mithali kerana  berjaya melaksanakan tugasan sebagai suami dengan cemerlang walaupun berpoligami. Kemarahan pastinya perlahan-lahan akan reda. Maka kembalilah lehidupan bahagia seperti sediakala. Alhamdulillah..
Sama seperti pihak kerajaan yang melaksanakan GST. Meskipun ada yang makan hati dan merasakan bahawa GST menzalimi mereka, namun jika pihak kerajaan berjaya melaksanakan GST dengan telus, hasil yang dipungut melalui  GST digunakan untuk menafaat rakyat seperti yang dijanjikan, prasarana dibangunkan, rakyat didahulukan,wang hasil dari GST digunakan untuk  perbelanjaan pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan lebih ramai orang miskin akan dapat dibantu, pastinya mereka yang marah akan mula reda kemarahannya, yang benci akan mula sayang, yang jauh akan semakin dekat. Namun jika kerajaan gagal melaksanakan janjinya, maka pihak kerajaan pastinya akan dihukum sama seperti si  isteri akan menghukum si suami yang berpoligami dan tidak akan memaafkannya sampai mati.


Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
9 Rabiul Akhir 1436H = 30hb Jan 2015

No comments:

Post a Comment