<!-- Facebook Pixel Code --> <script> !function(f,b,e,v,n,t,s) {if(f.fbq)return;n=f.fbq=function(){n.callMethod? n.callMethod.apply(n,arguments):n.queue.push(arguments)}; if(!f._fbq)f._fbq=n;n.push=n;n.loaded=!0;n.version='2.0'; n.queue=[];t=b.createElement(e);t.async=!0; t.src=v;s=b.getElementsByTagName(e)[0]; s.parentNode.insertBefore(t,s)}(window, document,'script', 'https://connect.facebook.net/en_US/fbevents.js'); fbq('init', '1394243567541901'); fbq('track', 'PageView'); </script> <noscript><img height="1" width="1" style="display:none" src="https://www.facebook.com/tr?id=1394243567541901&ev=PageView&noscript=1" /></noscript> <!-- End Facebook Pixel Code -->

Thursday, February 5, 2015

Bila Merotan Anak Menjadi Satu Kesalahan Jenayah

Bila Merotan Anak Menjadi Satu Kesalahan Jenayah
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia
Email: drnikrahim@usim.edu.my
H/p: 014 820 7111



Sedikit terkejut penulis bila membaca satu berita yang disiarkan di sebuah akhbar dan kini menjadi topik hangat yang diperdebatkan di media massa dan media sosial tempatan iaitu mengenai cadangan untuk menjadikan perbuatan merotan anak sebagai satu perbuatan jenayah yang mana pelakunya akan berdepan dengan hukumam yang bakal ditetapkan setelah mendapat kelulusan parlimen apabila dibentangkan nanti.
Penulis merasa terkejut kerana selama ini ‘rotan’ amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu Islam dan sudah menjadi satu kaedah yang amat efektif dalam pembentukan akhlak dan keperibadian sesetengah anak. Penulis tidak mengatakan bahawa semua anak perlu dirotan dalam proses pendidikan mereka. Masyarakat perlu sedar khususnya ibu bapa bahawa 'rotan' adalah penyelamat kepada anak-anak daripada terus menerus melakukan perbuatan yang bercanggah dengan nilai-nilai serta norma keperibadian terpuji.
Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak,  'rotan' merupakan 'polis' yang mampu mengawal tingkah laku anak-anak sejak dari awal usia mereka. 'Rotan' mampu mempercepatkan   tindakan sesetengah anak. Ia boleh dianggap sebagai pemudah cara dalam proses pendidikan anak-anak. Ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai pastinya tahu bahawa pendidikan anak tidak boleh bergantung kepada satu metod sahaja. Perlu ada kepelbagaian pendekatan bergantung kepada karektor anak itu sendiri. Ada anak yang  begitu lembut dan mudah untuk dilentur. Sekali cakap sudah memadai. Ada anak yang perlu jelingan tajam dari ibu bapa di samping  peringatan dan nasihat. Ada anak yang 'tak makan saman' jika hanya dengan  teguran atau jelingan tajam. Anak-anak dari kategori ini  perlu pendekatan yang agak lebih agresif tetapi berhemah. Mereka mungkin diberi amaran di peringkat awal bahawa mereka akan  dirotan jika berdegil dan jika masih enggan mematuhi perintah ibu bapa mereka.  Ada juga yang hanya akan menuruti arahan jika sudah merasa keperitan rotan di tubuh mereka. Dan ada yang lebih kritikal dari itu. Meskipun libasan rotan telah mendarat di batang tubuh, namun si anak dengan selamba mengatakan tidak sakit. Hal sebegini  mungkin jarang-jarang berlaku namun ianya meggambarkan kepada kita bahawa dalam pendikian anak-anak kepelbagaian pendekatan adalah suatu yang penting untuk diberi perhatian yang sewajarnya.

Menjadikan tindakan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah meletakkan ibubapa dalam keadaan yang serba salah. Jika tidak dirotan anak akan rosak akhlaknya, jika merotan pula ada risiko merengkok dalam penjara. Meletakkan tindakan merotan sebagai satu jenayah juga pastinya nanti akan membuka ruang kepada anak-anak untuk tidak menuruti perintah ibubapa dan menjadi anak durhaka.  Pastinya nanti akan membawa mala petaka besar di dalam keluarga. Akan ada anak-anak yang akan mengheret ibu bapanya ke mahkamah atas alasan melanggar undang-undang sepertimana yang berlaku di Amerika apabila se orang budak perempuan bernama Rachel Canning telah menyaman ibu bapanya dan menuntut kepada mahkamah untuk menaggung bayaran yuran pengajian beliau meskipun beliau telah bertindak meninggalkan rumah kerana tidak mahu dikongkong oleh kedua orang tuanya. Kita tidak mahu peristiwa seumpama ini terjadi di negara kita.
Merotan anak kerana mendidik perlu dibezakan dengan mendera. Mendera wajib dikenakan hukuman yang berat.  Bahkan merotan juga jika keterlaluan sehingga membawa kecederaan serius pada anggota tubuh badan anak- anak juga perlu dihukum kerana ianya telah terkeluar dari batas pendidikan.  Perlu ada  garis panduan dalam merotan tetapi bukan dengan menjadikan ianya sebagai satu kesalahan jenayah.
Kita tidak perlu telalu terikut- ikut dengan perundangan Barat dan tidak perlu mencari pelbagai alasan untuk mengikutinya. Setiap negara mempunyai perundangannya yang tersendiri dan negara lain tiada hak untuk campur tangan.  Budaya mereka adalah berbeza. Mereka membenarkan perkahwinan sesama jenis  seperti yang berlaku di New Zealand di mana Travis McIntosh dan Matt McCormick berkahwin secara sah dan dihadiri oleh kaum keluarga kedua belah pihak sedangkan kita melihatnya sebagai suatu yang menjijikkan dan dangkal dan tidak dapat menerimanya kerana bukan sahaja budaya kita berbeza bahkan juga ia bercanggah dengan nilai-nilai agama. Kita negara yang bebas dan perlu bebaskan diri dari belenggu penjajahan berterusan dari kuasa dan pengaruh negara luar.
Kita semua tahu bahawa merotan telah diterima pakai sejak lebih dari 1400 tahun lalu. Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan ibu bapa bahkan memerintahkan mereka agar merotan anak-anak mereka bagi tujuan pendidikan jika enggan mengerjakan solat di kala usia sudah menjengah 10 tahun.
“Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun). (Riwayat Abu Daud)”

Jelas di dalam hadith ini bahawa anak-anak yang perlu dirotan bukan di semua peringkat umur. Anak- anak perlu dididik, ditegur,  dinasihati,  dibelai,  dan dipujuk untuk mengerjakan solat. Setelah dilakukan segalanya tapi masih gagal merobah mereka, maka di saat itu barulah dibenarkan untuk merotan anak tersebut. Dalam erti kata lain merotan bukan pilihan pertama bahkan dikira sebagai pilihan terakhir setelah segala usaha sebelum ini gagal membuahkan hasil yang diharapkan. Mungkin ciri ini boleh diletakkan sebagai salah satu garis panduan  untuk ibubapa yang terpaksa merotan anak-anak mereka. Hanya anak yang berusia 10 tahun ke atas dibenarkan untuk dirotan, beramal dengan hadith di atas tadi.
Satu lagi garis panduan yang boleh di tambah ialah jumlah rotan yang tidak sepatutnya melebihi 10 kali bersandarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh  Abu Hurairah r.a:
 “Tidak boleh merotan melebihi 10 kali melainkan pada hukum hudud (Riwayat Bukhari)”
Abdullah Naseh Ulwan dalam bukunya yang bertajuk ” Tarbiatul Aulad fil Islam” telah menggariskan  beberapa syarat sebelum atau semasa merotan anak-anak sebagai salah satu kaedah pendidikan. Antaranya ialah tindakan merotan anak-anak  untuk kali pertama  mestilah dilakukan secara perlahan, tidak terlalu kuat yang boleh menyakitkan samada di tangan atau kaki. Jika tidak berkesan dengan satu rotan maka harus  dirotan sehingga tiga kali. Jika masih berdegil selepas dirotan sebanyak tiga kali maka boleh dirotan sehingga 10 kali tetapi jangan melebihi jumlah itu sebagaimana  yang disebutkan di dalam hadith di atas.
Merotan bukan sahaja terhad kepada anak-anak bahkan syariat Islam turut membenarkan suami untuk merotan isterinya jika ingkar dan nusyuz dengan syarat semua kaedah lain telah dilaksanakan terlebih dahulu. Sekali lagi rotan adalah pilihan terakhir setelah semua pendekatan lain gagal merobah isteri untuk mentaati perintah suami.
Dari sudut budaya pula merotan telah diterima pakai dalam  budaya Melayu sejak turun temurun. Merotan terbukti berjaya membentuk budaya mentaati ibu bapa sejak dari kecil. Kewujudan rotan di rumah meskipun  tidak sentiasa digunakan ibarat ' road block' yang dilakukan oleh  pihak polis. Mereka yang tidak bersalah tidak perlu takut kerana ‘road block’ itu bukan untuk mereka  tetapi hanya untuk merek yang bersalah. Kewujudan rotan di rumah disebut oleh Rasulullah sebagai rumah yang dirahmati. 

Di Amerika sendiri terdapat suara-suara yang mencadangkan agar hukuman rotan dikenakan kepada pesalah. Mereka mencadangkan kepada kerajaan Amerika supaya menurut jejak langkah Singapura yang mengenakan hukuman rotan ke atas se orang rakyat Amerika bernama Michael Fay yang didapati bersalah melakukan perbuatan vandalisma. Michael Fay dikenakan hukuman rotan sebanyak empat kali meskipun diminta oleh Presiden Amerika pada ketika itu iaitu Bill Clinton untuk menggugurkan hukuman tersebut. Yang nyata menurut pengarang di sebuah akhbar di Amerika, Michael Fay tidak lagi mengulangi perbuatan sama sekurang-kurangnya di Singapura. Di sini  jelas menunjukkan bahawa rotan sebenarnya diiiktiraf oleh masyarakat dunia sebagai salah satu kaedah pencegahan supaya pesalah tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama. Sama juga fungsi rotan kepada kanak-kanak, ia tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk ‘mengajar’ anak tersebut supaya berwaspada dan beringat-ingat pada setiap ketika supaya tidak dikenakan hukuman rotan yang kesannya amat sukar dilupakan.

 Justeru penulis amat berharap agar pihak kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan cadangan untuk menjadikan tindakan merotan anak sebagai satu perbuatan jenayah seperti yang lakukan oleh Sweden sebelum ianya diperbahaskan dengan teliti dan terperinci dengan memanggil pakar-pakar perundangan,  kemasyarakatan, psikologi,  ahli akademik dan agama sebelum ianya dijadikan sebagai satu undang-undang.

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia

No comments:

Post a Comment