Wednesday, October 11, 2017

Tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah: Pesalah Wajar Terima Hukuman Berat

 Tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah: Pesalah Wajar Terima Hukuman Berat
Oleh
Dr Nik Rahim Nik Wajis
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dalam suasana muram dan sedih rentetan tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat dua hari yang lalu yang mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru, kita semua dikejutkan dengan tangkapan tujuh remaja yang berusia antara 11 hingga 19 tahun, termasuk lima suspek utama  bagi membantu siasatan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, di sini, kelmarin.
Lebih mengejutkan apabila ada di antara tertuduh masih di bawah umur dan enam dari mereka berdasarkan siasatan awal polis berada di bawah pengaruh dadah. Meskipun kes ini belum diputuskan oleh mahkamah samada mereka bersalah atau sebaliknya, namun kita harus memberikan perhatian serius tentang kes-kes jenayah berat yang melibatkan remaja bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang kembali.
Pastinya kita tertanya-tanya, apakah yang mendorong kanak-kanak seawal usia 11 tergamak bersekongkol dengan beberapa remaja lain untuk melakukan perbuatan kejam tanpa berperikemaknusiaan seperti ini? Apakah mereka tidak dapat berfikir bahawa perbuatan mereka itu akan membunuh jiwa-jiwa yang tidak berdosa? Apakah kerana kemarahan dan dendam kesumat yang tidak dapat dikawal maka mereka sanggup membunuh? Atau apakah kerana pengaruh dadah, maka mereka bertindak di luar batas kemanusiaan?
Apapun punca  yang membawa kepada terlaksananya jenayah yang mencatat tragedi hitam dalam diri keluarga semua keluarga mangsa, semua tertuduh yang didapati bersalah oleh mahkamah wajar dikenakan hukuman berat setimpal dengan jenayah kejam yang mereka lakukan.
Jika diteliti peruntukan yang ditetapkan oleh undang-undang Syariah, mereka yang bersalah dalam pembunuhan sengaja (Qatl al ‘amd) boleh dikenakan hukuman qisas iaitu dibalas bunuh dengan syarat penjenayah tersebut sudah sampai umur atau baligh. Namun di dalam kes ini, tidak kesemua tertuduh telah mencapai umur baligh yang menurut mazhab Syafie adalah 15 tahun.
Namun undang-undang yang diamalkan di Negara kita sekarang ini adalah berbeza kerana umur yang melayakkan pesalah dikenakan hukuman mati adalah 18  tahun ke atas menurut Seksyen 16 Akta Mahkamah Juvana 1947.
Pesalah juvana tidak boleh dihukum mati atau dipenjarakan seumur hidup. Manakala kanak-kanak yang kurang daripada 10 tahun dianggap oleh undang-undang sebagai tidak mempunyai keupayaan melakukan kesalahan jenayah dan  tidak boleh dipertanggungjawabkan dan dikenakan tanggungan disisi undang-undang.
 Jadi berdasarkan kepada peruntukan undang-undang ini, maka jika semua tertuduh didapati bersalah, hanya se orang dari mereka yang bakal berhadapan dengan hukuman mati  manakala yang lain yang berusia di bawah 18 tahun akan menghadapi hukuman yang lebih ringan iaitu ditahan selama yang diperkenankan oleh pihak berkuasa negeri di bawah Seksyen 16 Akta Mahkamah Juvana 1947.
Persoalannya di sini wajarkah dengan kesalahan seberat itu mereka hanya ditahan dan tidak dikenakan hukuman mati sedangkan pada hakikatnya penglibatan mereka di dalam perlakuan jenayah dibuat dengan perancangan yang teliti dan ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa mereka adalah individu dewasa bukan lagi boleh dianggap sebagai kanak-kanak yang diperlu dikecualikan dari hukuman mati khususnya bagi mereka yang berusia lebih dari 15 tahun yang menurut hukum syara’ sudah dianggap sebagai baligh dan layak menerima hukuman mati seperti se orang dewasa.
Apapun keputusan yang dibuat oleh mahkamah, masyarakat mengharapkan agar mereka yang bersalah dihukum setimpal dengan perbuatan kejam mereka agar ianya menjadi pengajaran kepada diri mereka dan juga orang lain.
Al Fatihah buat semua mangsa yang terkorban. Moga kematian mereka terbela!

No comments:

Post a Comment

Featured Post

BENARKAH EMAS ADALAH PELABURAN TERBAIK SEPANJANG ZAMAN?

Assalamu 'alaikum dan salam sejahtera sahabat semua.  Emas seperti yang kita ketahui adalah logam yang amat tinggi nilainya. Jadi tidak ...