Tuesday, July 19, 2011

Aidilfitri Peluang membersihkan diri

Aidilfitri Peluang membersihkan diri

Sememangnya hari raya adalah merupakan perayaan yang dinanti setiap orang, tidak kira usia, pangkat dan juga status mereka.

Semua menanti-nanti kedatangan Syawal yang mulia. Saat di mana kaum kerabat, sahabat handai, rakan taulan bersuka ria, bersalam-salaman, bermaaf-maafan di atas segala ketelanjuran.

Segala rasa tidak senang hati, dengki mendengki dan berbagai lagi penyakit-penyakit hati diharapkan dapat dibersihkan pada hari yang mulia ini.

Sesungguhnya, kita banyak berdosa bukan sahaja kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mengurniakan kita dengan berbagai nikmat, bahkan kita juga banyak melakukan dosa terhadap sesama manusia. Dosa terhadap manusia tidak sama dengan dosa terhadap Allah. Jika kita berdosa kepada Allah, sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi maha mengasihani dan Allah berjanji akan mengampunkan segala dosa hambanya yang bertaubat dan insaf dari segala ketelanjurannya.

Namun dosa terhadap manusia tidak akan diampunkan oleh Allah selagi mana ia tidak dimaafkan oleh individu itu sendiri. Lantaran itu, di hari raya yang mulia ini, ambillah peluang untuk memohon kemaafan di atas segala kesalahan dan kezaliman yang dilakukan ke atas sahabat serta saudara kita sesama Islam. Ini adalah suatu amalan yang terpuji.

Di dalam saat menyambut lebaran, kita seharusnya tidak tenggelam di dalam kegembiraan. Kita perlu juga prihatin dengan sebahagian dari mereka yang kurang bernasib baik, mereka yang tidak mampu untuk tersenyum kerana penderitaan yang mereka alami. Mereka ini adalah golongan fakir miskin yang hidup melarat dan kadangkala bergantung kepada bela kasihan dari mereka yang berada.

Hari Raya tidak memberikan banyak erti di dalam kehidupan mereka. Mereka hanya umpama ”kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Jika begini keadaan hidup mereka sudah tentu, kedatangan Aidilfitri tidak memberikan sebarang perbedaan.

Jika mereka kadangkala terpaksa makan ubi kayu untuk mengalas perut, bayangkanlah apakah yang mereka mampu untuk memberikan kegembiraan kepada anak-anak mereka seperti pakaian baru dan sebagainya sama seperti kanak-kanak lain. Jadi, di dalam kegembiraan kita bersama keluarga merayakan hari lebaran ini, ayuh… jangan pula golongan ini kita alpakan. Taburilah mereka dengan sedikit cahaya harapan. Serikanlah wajah mereka dengan secebis senyuman dan bantulah mereka agar mereka juga mampu tersenyum gembira kerana masih ada jiwa-jiwa yang terpanggil untuk menghulurkan sekelumit simpati. Ya, hari raya bukan sahaja hari untuk bergembira tetapi menginsafi diri serta prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan berkemampuan. Membantu mereka agar mereka juga turut merasai kegembiraan hari raya.

Sesungguhnya harta yang dikeluarkan bagi membantu mereka yang sudah dan menderita tidak akan mengurangkan harta tersebut bahkan ianya akan menyuburknnya.

Di saat ini, semua berpakaian baru, kasut baru dan semuanya baru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa, kanak-kanaklah golongan yang paling gembira bila hari raya menjelma. Kenapa tidak? Di hari rayalah mereka dapat menikmati segala yang baru khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Di hari raya, kadangkala ibu bapa terpaksa berhempas pulas mencari wang semata-mata untuk membeli pakaian baru bagi menggembirakan anak-anak mereka menjelang hari raya bahkan ada di antara mereka yang terpaksa berhutang malah ada juga yang terpaksa menggadai barang-barang kemas hanya kerana ingin sama-sama bergembira sama seperti orang lain.

Dengan kemelesetan ekonomi yang melanda, harga barang-barang keperluan melambung tinggi, pemotongan di sana ini, beban ibu bapa semakin berat di rasa, namun ibu bapa rela berkorban apa saja asalkan anak-anak mereka bergembira di hari raya. Cuma persoalannya sekarang, apakah ini suatu kemestian?

Perlukah ibu bapa bergolok bergadai semata-mata untuk membeli pakaian baru untuk anak-anak sedangkan mereka pada hakikatnya tidak mampu melakukannya? Apakah anak-anak begitu sukar untuk memahami kesusahan ibu bapa mereka atau mereka tidak mungkin difahamkan dengan situasi keluarga mereka? Tidakkah anak mungkin akan akur dengan apa yang diperkatakan oleh ibu bapa mereka jika bapa mereka berkata, ”nak, tahun ini kita terpaksa pakai baju lama, ayah tak mampu untuk beli yang baru. Insya-Allah tahun hadapan ayah berjanji akan belikan anak-anak baju yang baru”.

Pada hemat saya, kanak-kanak tidak sekeras mana hati mereka. Mereka boleh dipujuk dan difahamkan asalkan pendekatannya kena dengan usia mereka.

Mereka perlu dididik agar meminta sesuatu yang mampu disediakan oleh ibubapa mereka. Kita perlu sedar bahwa hari raya bukan hari untuk bermegah-megah dengan pakaian–pakaian baru dan mahal. Tanpa pakaian baru kita dan anak-anak masih lagi mampu untuk bersuka ria. Berbelanjalah mengikut kemampuan yang ada. ”Ukurlah baju di badan sendiri”. Bagi mereka yang berkemampuan pula, janganlah berbelanja berlebih-lebihan. Elakkan pembaziran kerana pembaziran adalah suatu yang dilarang oleh agama. Kesederhanaan adalah sifat yang terpuji. ”Sebaik-baik perkara adalah pertengahan”. Demikian maksud sebuah hadis Rasulullah di dalam menggalakkan umatnya agar berhemat di dalam setiap perkara.

Di dalam berbelanja kita bersederhana, di dalam makan minum kita bersederhana. Jangan jadikan hari raya sebagai hari untuk ‘membalas dendam’ setelah sebulan tidak boleh makan dan minum di siang hari. Kita perlu sedar bahawa hari raya adalah hari untuk kiat ziarah menziarahi antara satu dengan lain dan bukan hari untuk memenuhi nafsu makan minum kita.

Ketahuilah dengan kedatangan Syawal, bererti syaitan yang menjadi musuh utama kita dibebaskan setelah sebulan lamanya dibelenggu di bulan Ramadhan. Kita tentunya dapat membayangkan bagaimana seseorang yang sebulan dipenjara apabila dia dibebaskan. Tentunya dia akan menjadi begitu aktif kerana tenaganya telah tidak digunakan sekian lama.

Justeru, berhati-hatilah kerana syaitan akan mencuba sedaya upaya untuk menyesatkan umat Islam. Allah telah menjanjikan syaitan sebagai penghuni neraka untuk selama-lamanya dan syaitan telah berjanji di hadapan Allah untuk menyesatkan anak Adam agar mereka menjadi temannya di dalam neraka.

Hanya mereka yang bertakwa dan berhati-hati di dalam setiap langkahnya akan terselamat dari hasutan dan godaan syaitan dan Iblis.

Maka, di samping kita bergembira dan berseronok-seronok jangan pula kita menjadi alpa dan lupa akan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim. Jauhilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah.

Berusahalah dan berikhtiarlah didalam menjauhi sesuatu dan selepas itu bertawakallah kepada Allah. Semoga hari raya anda diserikan dengan senyuman dari ibu bapa, anak pinak, sanak saudara dan jiran tetangga. Selamat hari raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment